Melaka Umum Empat Inisiatif Pakej Bantuan Rahmah Dan Prihatin Rakyat

MELAKA, 19 April – Kerajaan Melaka hari ini mengumumkan empat inisiatif di bawah Pakej Bantuan Rahmah dan Prihatin Rakyat Negeri Melaka melibatkan implikasi kewangan berjumlah RM15.93 juta.

Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusof, berkata inisiatif baharu berkenaan bertujuan mengurangkan bebanan dan kos sara hidup rakyat terutama anak watan Melaka dan golongam B40 sekali gus meningkatkan kesejahteraan dan kemajuan di negeri itu.

Katanya, inisiatif pertama ialah parkir percuma kenderaan di bawah pentadbiran empat pihak berkuasa tempatan di negeri itu selama tujuh hari bermula 1 Syawal ini melibatkan implikasi kewangan sebanyak RM519,000.

“Inisiatif kedua ialah pemotongan fi lesen sebanyak 50 peratus melibatkan sebanyak 6,223 pelesen iaitu penjaja kecil bermula Jun hingga akhir Disember ini dengan implikasi kewangan berjumlah RM548,000.

“Bagi inisiatif ketiga pula ialah menghapuskan caj perkhidmatan atau denda lewat bayar cukai pintu bagi mereka yang dapat menjelaskan keseluruhan bayaran cukai pintu semasa dan denda lewat melibatkan kategori kediaman, komersial dan industri untuk tahun 2023 dengan anggaran implikasi kewangan sebanyak RM14.12 juta,” katanya, di sini. semalam.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Perhimpunan Bulanan Kerajaan Negeri dan Majlis Berbuka Puasa Bersama Penjawat Awam Melaka di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka.

Ab Rauf berkata bagi inisiatif keempat pula ialah melupuskan semua kompaun kesalahan parkir kereta dan kompaun penjaja kecil dalam tempoh 1 hingga 30 Mac sempena pelantikannya sebagai Ketua Menteri Melaka melibatkan anggaran implikasi kewangan bernilai RM1.18 juta.

Sementara itu, beliau berkata kerajaan negeri Melaka akan melaksanakan ‘Hari Terbuka’ pada hari Khamis setiap hujung bulan bagi memudahkan rakyat negeri itu bertemu dengannya secara ‘walk in’.

“Hari Terbuka berkenaan akan diadakan sama ada di pejabat saya (Seri Negeri) sehingga jam 5 petang dan berterusan di Seri Bendahara sehingga jam 2 pagi.

“Hari Teri Terbuka ini akan dijadikan dasar utama saya yang akan memudahkan pemimpin dan rakyat bertemu bagi mengemukakan permasalahan dan apa jua urusan di peringkat rakyat,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Ab Rauf berkata tiada sesiapa pun dibenarkan menggunakan nama beliau selaku Ketua Menteri untuk meraih keuntungan dalam pembidaan mana-mana kontrak, tender atau projek di negeri itu.

“Setakat ini tiada individu yang menggunakan nama saya tetapi saya banyak dengar dari jauh (khabar angin)…Datuk Rauf suruh. Tindakan tegas akan diambil terhadap mereka yang dikenal pasti mengambil kesempatan atau menggunakan nama saya,” katanya.

Dalam pada itu, Ab Rauf berkata kerajaan negeri juga akan mewujudkan Perkampungan Digital dalam usaha memastikan setiap rumah di kawasan perkampungan itu mempunyai alamat yang lengkap, lebih sistematik dan memudahkan Jabatan Perangkaan menyusun semula maklumat berkaitan rakyat.

Beliau berkata inisiatif yang bertujuan menambah baik sistem penyampian sedia ada itu telah diperhalusi di semua peringkat agensi dan jabatan kerajaan negeri seperti pejabat daerah serta pihak berkuasa tempatan dan ia kini menunggu masa untuk dilaksanakan dalam masa terdekat bermula di kawasan Masjid Tanah. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.