Aidilfitri: Kecekapan Pengoperasian CIQ BSI Diharap Capai 100 Peratus

JOHOR BAHRU, 19 April – Kecekapan pengoperasian Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) di Bangunan Sultan Iskandar (BSI) di sini sepanjang tempoh perayaan Aidilfitri ini diharapkan dapat mencapai tahap 100 peratus.

Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata kecekapan pengoperasian optimum perlu bagi memastikan pergerakan pengembara berjalan lancar sekali gus mengurangkan kesesakan laluan darat antara Malaysia dan Singapura melalui Tambak Johor.

“CIQ ini adalah yang tersibuk di dunia dan bakal menjadi lebih sibuk selepas ini. Dari segi pencapaian hari ini saya tengok, ia belum lagi berada pada tahap 100 peratus. Bagi saya baru 80 peratus dari segi kecekapan.

“Semua kaunter yang ada melibatkan laluan pejalan kaki, kereta, motosikal dan bas perlu dibuka sepenuhnya. Sekiranya ada masalah dari sudut teknikal, ia mestilah diselesaikan segera, juga masalah melibatkan kekurangan tenaga kerja,” katanya kepada pemberita selepas meninjau operasi di kompleks berkenaan awal pagi tadi.

Beliau turut berharap komitmen terhadap perkara tersebut dapat diberikan oleh Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Datuk Ruslin Jusoh yang baru dilantik menerajui agensi itu pada 22 Mac lepas.

“Saya menjemput Ketua Pengarah Jabatan Imigresen baharu untuk datang ke sini (CIQ BSI) secepat mungkin bagi melihat kaedah terbaik untuk kita meningkatkan lagi tahap kecekapan operasi di kompleks ini, kerana saya dan rakyat Malaysia berharap ia dapat beroperasi secara penuh.

“Kita juga mengambil berat kebajikan petugas imigresen yang sedang bertungkus lumus menghadapi peningkatan jumlah pengembara. Saya juga dapat laporan kadang-kadang tuntutan kerja lebih masa pegawai dan anggota mengambil masa terlalu lama untuk diselesaikan, saya harap ia dapat diatasi segera dalam tempoh sehari dua ini,” katanya.

Jumaat lepas, Ketua Polis Johor Datuk Kamarul Zaman Mamat dilapor berkata kira-kira dua juta kenderaan dijangka memasuki Johor termasuk menerusi laluan darat antara Malaysia dan Singapura melalui Tambak Johor dan Laluan Kedua Malaysia-Singapura (Linkedua) sempena Aidilfitri ini. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.