Melaka Perkasa Semula Pelancongan Pendidikan Tingkat Kesedaran, Semangat Patrotisme Generasi Muda

MELAKA, 18 April – Melaka akan memperkasa pelancongan pendidikan di negeri ini dengan kerjasama Perbadanan Muzium Melaka (Perzim) untuk meningkatkan kesedaran dan semangat patriotisme dalam kalangan generasi muda.

Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri Datuk Abdul Razak Abdul Rahman berkata inisiatif itu juga dilaksanakan bertujuan menjadikan generasi muda berkenaan celik sejarah dan tidak mudah menjadi mangsa penyelewengan fakta berkaitan sejarah oleh pihak tidak bertanggungjawab.

“Saya telah mengadakan perjumpaan dengan Perzim khususnya rektor pendidikan dan penyelidikan untuk melibatkan anak-anak kita bermula di peringkat sekolah rendah menerusi kursus yang berunsur sejarah.

Mungkin perkara ini pernah dibuat sebelum ini dan kita ingin memperkasakan semula usaha ini kerana ia akan memberi manfaat yang besar kepada generasi muda pada masa hadapan,” katanya kepada pemberita di sini malam tadi.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Berbuka Puasa Bersama Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri Melaka yang turut dihadiri Timbalannya Datuk Zaidi Attan.

Mengulas lanjut, Abdul Razak berkata pelancongan pendidikan itu juga dijangka dapat meningkatkan kedatangan pelancong ke negeri ini.

Beliau berkata selaras dengan fokus itu, kerajaan negeri juga sedang menaik taraf muzium yang terdapat di negeri ini khususnya daripada aspek fasiliti agar dapat menarik kedatangan pelancong.

Dalam pada itu mengulas sama ada kerajaan negeri akan menjadikan Melaka sebagai hab pendidikan sejarah, katanya perkara itu perlu diperhalusi terlebih dahulu di peringkat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) terlebih dahulu. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.