Raja Muda Perak Berkenan Berbuka Puasa Bersama Rakyat Di Masjid Tuminah Hamidi

BAGAN DATUK, 10 April – Raja Muda Perak, Raja Jaafar Raja Muda Musa, berkenan berangkat ke Majlis Berbuka Puasa bersama rakyat di Masjid Tuminah Hamidi, di sini, hari ini.

Ketibaan baginda pada kira-kira jam 6.50 petang disambut Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk.

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Perladangan, Pertanian dan Industri Makanan negeri, Datuk Mohd Zolkafly Harun, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan negeri, Khairudin Abu Hanipah dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rungkup, Datuk Shahrul Zaman Yahya.

Majlis dihadiri kira-kira 1,500 jemaah itu dimulakan dengan bacaan ayat suci al-Quran, majlis tahlil dan doa selamat.

Baginda kemudian berbuka puasa dan menunaikan solat Maghrib sebelum berangkat ke majlis santapan dan menunaikan solat Isyak serta Tarawih.

Baginda turut menyertai jamuan moreh dan sesi bergambar sebelum berangkat pulang. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.