Johor Sokong Kawasan Penempatan, Rizab Orang Asli Diletak Bawah “Sultanate Land”

JOHOR BAHRU, 5 Apr – Kerajaan Johor hari ini menjunjung dan menyokong sepenuhnya titah Sultan Johor Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar untuk meletakkan semua kawasan penempatan dan rizab Orang Asli di negeri ini di bawah “Sultanate Land” supaya tidak ada pihak boleh berbuat sesuka hati.

Menteri Besar Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata kerajaan negeri sangat peka dan prihatin terhadap eksploitasi yang dilakukan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab ke atas Orang Asli terutamanya di negeri ini.

Beliau berkata untuk terus melindungi dan menjaga hak Orang Asli di negeri ini, undang-undang yang ada akan terus digunakan seperti Akta Orang Asli 1954 (Akta 134).

“Selain itu ialah Enakmen Tanah Kesultanan 1934, Kanun Tanah Negara (Akta 828), Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716) dan Kaedah-kaedah Tanah Johor 1966.

“Mutakhir ini, kerajaan negeri mendapat pelbagai aduan tentang eksploitasi ke atas Orang Asli oleh pihak yang tidak bertanggungjawab bagi kepentingan peribadi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut beliau ini termasuk penerokaan secara tidak sah tanah rizab Orang Asli yang dibangunkan bagi tujuan komersial, selain menjadikan Orang Asli sebagai juru pandu untuk memburu hidupan liar yang dilindungi di bawah Akta Pemuliharaan Hidupan Liar.

Tidak cukup dengan itu, Onn Hafiz berkata ada Orang Asli yang digunakan untuk aktiviti mengekstraksi hasil hutan secara haram seperti kayu gaharu dan logam-logam bernilai.

“Untuk pengetahuan semua, mana-mana kawasan yang telah diwartakan sebagai ‘Sultanate Land’ bukanlah bermaksud tanah itu milik peribadi Sultan, tetapi tanah itu dilindungi oleh Sultan supaya tidak ada mana-mana pihak yang mengambil kesempatan atau menyalahgunakan tanah rizab tersebut.

“Tuanku adalah penjaga kepada tanah rizab ini untuk terus menjaga hak dan kepentingan Orang Asli di Johor dan Orang Asli di negeri ini boleh menggunakan serta menikmati hasil hutan seperti yang termaktub dalam Akta Orang Asli 1954,” katanya.

Jelas Onn Hafiz lagi, sejarah telah membuktikan bahawa semenjak pemerintahan Almarhum Sultan Abu Bakar lagi dan sebelum wujudnya Akta Orang Asli 1954, kedudukan dan penempatan Orang Asli di negeri ini telah dijaga dan dibela oleh Kesultanan Johor.

Ahli Dewan Undangan Negeri Machap itu berkata kerajaan negeri berharap tidak ada mana-mana pihak yang cuba mempertikaikan dan mengelirukan Orang Asli lagi.

“Janganlah menangguk di air keruh dan memutarbelitkan hasrat murni kerajaan negeri ini. Jika ada mana-mana pihak memerlukan penjelasan dan maklumat yang lebih terperinci boleh berhubung dengan Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) negeri,” katanya.

Pada 16 Mac lepas, dalam titah perasmian persidangan Dewan Undangan Negeri Johor, Sultan Ibrahim menzahirkan kekecewaan berikutan ada segelintir Orang Asli menceroboh kawasan hutan simpan kerajaan untuk dijadikan ladang getah dan kelapa sawit secara besar-besaran.

Baginda percaya terdapat orang luar yang menjadi dalang dalam hal ini dan cuba mengambil kesempatan dengan menggunakan hak Orang Asli sebagai alasan.

Justeru, baginda menggesa kerajaan negeri supaya meletakkan semula kawasan penempatan dan rizab Orang Asli di bawah “Sultanate Land” supaya tidak ada pihak yang boleh berbuat sesuka hati. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.