Bekas Speaker Selangor Tan Sri Onn Ismail Meninggal Dunia
SHAH ALAM, 5 April – Bekas Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor Tan Sri Onn Ismail, 84, disahkan meninggal dunia di kediaman anaknya di Kampung Raja Uda, Pelabuhan Klang pada 7.15 malam ini.
Perkara itu dimaklumkan anaknya Datin Paduka Datuk Nor Hayati ketika dihubungi Bernama sebentar tadi.
“Perkhabaran ayah (Onn Ismail) meninggal dunia itu benar. Ayah meninggal dunia sangat tenang. Beliau tidak mengidap sebarang penyakit kronik cuma sakit orang tua sahaja. Ada keluar masuk hospital tapi ayah pergi dengan tenang,” katanya ketika dihubungi.
Onn berkhidmat sebagai Speaker DUN Selangor selama tiga penggal dari 1995 hingga 2008, Pengerusi Tetap UMNO Malaysia dari 2004 hingga 2007, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sementa selama tiga penggal dari 1974 hingga 1982 dan sebagai ADUN Selat Klang selama tiga penggal dari 1986 hingga 1995.
Jenazah beliau dijangka disolatkan di Masjid Kampung Raja Uda dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Kampung Raja Uda selepas solat Zohor esok. – BERNAMA