MOF Timbang Peruntukan Segera RM45.5 Juta Naik Taraf CIQ KSAB

ISKANDAR PUTERI, 1 April – Kementerian Kewangan (MOF) akan menimbangkan peruntukan segera RM45.5 juta untuk menaik taraf Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ), Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB), bagi mengatasi kesesakan.

Timbalan Menteri Kewangan I Datuk Seri Ahmad Maslan berkata terdapat empat projek naik taraf yang perlu dilaksanakan segera bagi menangani masalah kesesakan di laluan pintu masuk negara itu, yang dianggarkan memerlukan peruntukan berjumlah RM45.5 juta.

“Hari ini saya ingin membuat susulan dan melihat sendiri apakah yang boleh dibantu MOF bagi memastikan pelaksanaan keputusan-keputusan yang berkaitan,” katanya kepada pemberita selepas melawat CIQ KSAB, di sini, hari ini.

Ahli Parlimen Pontian itu berkata peruntukan itu akan digunakan untuk menambah akses laluan masuk ke zon menunggu bagi kenderaan berat import dan eksport serta menggabungkan dan membina bumbung dewan bagi penumpang yang menaiki bas ‘inbound’ dan ‘outbound’.

Selain itu katanya ia juga akan digunakan bagi menyediakan kemudahan penumpang, pemandu dan pelancong seperti kafe, surau dan tandas, di samping mewujudkan laluan kontra, iaitu pembukaan 12 lorong.

“Laluan kontra yang ada ini adalah dari Singapura ke Malaysia dan dibuka apabila berlaku kesesakan terutamanya di hujung minggu, ketika cuti atau perayaan, daripada 24 lorong ditambah 12 boleh dijadikan 36 lorong, supaya kesesakan daripada Singapura ke Malaysia boleh diatasi.

“Bagaimanapun, laluan kontra ini belum boleh dilaksanakan bagi laluan dari Malaysia ke Singapura disebabkan ada landskap yang perlu dialihkan dan ini yang perlu kita laksanakan,” katanya.

Ahmad berkata selepas peruntukan diluluskan nanti, diharapkan semua projek berkenaan dapat dimulakan tahun ini dan disiapkan tahun depan. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.