MOT-Johor Capai Kata Sepakat Utamakan Projek RTS, PLBEGJB

JOHOR BAHRU, 28 Mac – Kementerian Pengangkutan (MOT) dan Kerajaan Negeri Johor mencapai kata sepakat berhubung dua projek yang perlu terus diberi keutamaan, iaitu Sistem Transit Rapid (RTS) Link Johor Bahru-Singapura dan Projek Landasan Berkembar Elektrik Gemas-Johor Bahru (PLBEGJB).

Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata kemajuan RTS, kini mencapai tahap 32.78 peratus dan dijangka siap pada penghujung tahun 2026, manakala PLBEGJB telah mencapai 90.6 peratus dan dijangka siap pada April 2026.

“(Selain itu), satu lagi projek penting untuk kesalinghubungan negeri Johor iaitu Iskandar Rapid Transit (IRT), sudah mencapai kemajuan 24.14 peratus, dan dijangka siap pada penghujung 2025,” katanya menerusi hantaran di Facebook rasminya hari ini.

Laluan RTS merupakan projek kereta api rentas sempadan sepanjang empat kilometer, menghubungkan terminal di Singapura di stesen Woodlands North ke terminal Malaysia di Bukit Chagar di sini.

PLBEGJB terdiri daripada 11 stesen dan dianggap sebagai mercu tanda bagi pekan-pekan kecil yang ada di negeri Johor.

Onn Hafiz berkata kerajaan negeri juga amat menghargai usaha Kerajaan Persekutuan, khususnya MOT yang menyediakan perkhidmatan MyBAS Johor Bahru, bagi membolehkan Bangsa Johor menggunakan 19 laluan meliputi jarak 1,070 kilometer dengan hanya RM50 tanpa had, selama 30 hari.

“Justeru, kami akan melihat bagaimana cara untuk memastikan perkhidmatan MyBAS50 dan perkhidmatan percuma Bas Muafakat Johor di bawah Perbadanan Pengangkutan Awam Johor, agar ia saling melengkapi antara satu sama lain, demi meningkatkan mutu kesalinghubungan negeri ini,” tambahnya.

Terdahulu, Onn Hafiz turut menzahirkan penghargaan dan mengucapkan terima kasih kepada Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook atas kesudian bertemu dengannya, selain Menteri Besar turut berkongsi beberapa foto pertemuan itu di platform media sosial tersebut.

Sementara itu, dalam hantaran berasingan, Onn Hafiz berkata kerajaan negeri bersetuju meluluskan peruntukan sebanyak RM200,000, bagi kerja-kerja membaik pulih infrastruktur Masjid Dato’ Haji Abd Ghani di Tangkak.

“Saya berkesempatan menyampaikan bantuan tunai kepada 250 penerima bantuan Majlis Agama Islam Negeri Johor, 250 penerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat dan 30 penerima bantuan Yayasan Pembangunan Keluarga Darul Ta’zim.

“Saya turut dimaklumkan tentang kondisi masjid yang perlu diselenggara. Alhamdulillah, Kerajaan Negeri bersetuju meluluskan peruntukan sebanyak RM200,000 untuk kerja-kerja baik pulih infrastruktur masjid ini,” katanya yang hadir pada majlis berbuka puasa di Tangkak hari ini. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.