Melaka Harap Kerajaan Persekutuan Jadikan M-WEZ Sebagai Projek Nasional

MELAKA, 16 Mac – Kerajaan Melaka berharap projek Melaka Waterfront Economic Zone (M-WEZ) menjadi sebahagian daripada projek nasional, kata Exco Kanan Pelaburan, Perindustrian, Pembangunan Koperasi dan Usahawan negeri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh.

Beliau berkata berkata ketika ini, Melaka tidak termasuk dalam mana-mana koridor ekonomi negara, justeru, kerajaan negeri perlu tampil dengan projek koridor sendiri bagi memacu pertumbuhan ekonomi di negeri itu.

“Pengiktirafan ini (sebagai projek nasional) akan memberi ruang kepada pelabur untuk mendapatkan insentif terutamanya insentif khas seperti pengecualian cukai berkaitan daripada kerajaan Persekutuan,” katanya pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka di sini hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Lim Ban Hong (BN-Kelebang) berhubung dasar insentif kerajaan Persekutuan kepada kerajaan negeri melalui status projek berkenaan.

Ab Rauf berkata hasil kajian pelbagai pihak mendapati kawasan pembangunan M-WEZ sepanjang 33 kilometer (km) di Selat Melaka itu berpotensi menjadi pelabuhan laut dalam.

“Setiap tahun 90,000 kapal melewati Selat Melaka. Jika ada pelabuhan laut dalam, pastinya Melaka akan mengatasi negeri-negeri lain yang mempunyai kawasan pelabuhan kerana kita terletak di kawasan paling strategik,” katanya.

Menjawab soalan asal Kerk Chee Yee (PH-Ayer Keroh) berhubung kesan terhadap alam sekitar akibat penambakan laut bagi mewujudkan M-WEZ, Ab Rauf berkata Laporan Penilaian Kesan Alam Sekitar (EIA) perlu disediakan dan dinilai Jabatan Alam Sekitar (JAS) sebelum kebenaran merancang dipertimbang pihak berkuasa tempatan (PBT).

Katanya antara kajian dilakukan termasuk kesan terhadap paya bakau, pulau, hakisan pantai, terumbu karang, kawasan biologi marin, perikanan, aktiviti manusia dan lain-lain kesan mengikut lokasi berbeza. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.