Kerajaan Tambah Baik Modul Penghayatan Pendidikan Islam Di KEMAS Mulai Tahun Ini
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata kita akan memberi penekanan terhadap dua aspek iaitu ibadah dan pengajian al-Quran membabitkan sebanyak 250,000 kanak-kanak termasuk pengambilan baharu.
“Penambahbaikan modul PPI ini turut merangkumi penyusunan semula kandungan modul keseluruhan mengikut kesesuaian tahap kanak-kanak berusia lima dan enam tahun secara spesifik.
“Aplikasi kaedah pembelajaran dan pemudah cara yang bersifat kontemporari, berkonsep didik hibur selaras dengan era digital berasaskan kompetensi dengan pengekalan identiti jati diri KEMAS,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Program Ramah Mesra bersama Kakitangan KEMAS Kelantan di Auditorium Jabatan Kebudayaan dan Keseniaan negeri, di sini hari ini, yang turut dihadiri, Ketua Setiausaha Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) Datuk Seri Ramlan Harun dan Ketua Pengarah KEMAS Ahmad Kamal Idris Mohd Nawawi.
Beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata pemerkasaan kualiti serta kompetensi itu turut melibatkan tenaga pengajar dengan siri latihan kemahiran profesional dan ikhtisas yang diiktiraf.
“Kita juga beri jaminan tidak akan mengetepikan murid-murid yang bukan beragama Islam dengan memberi peluang kepada mereka memulakan pendidikan dalam agama masing-masing kerana negara kita mengamalkan kebebasan beragama kepada semua rakyat,” katanya.
Selain itu, Ahmad Zahid berkata kerajaan juga berhasrat memperkenalkan modul Komunikasi Digital dalam masa terdekat kepada kalangan pemaju dan pendidik KEMAS selari dengan peredaran teknologi masa kini.
“Bagi merealisasikan hasrat ini, saya memberi tanggungjawab kepada KSU KKDW untuk mengusahakan peruntukan bagi memberi komputer riba kepada semua pemaju dan pendidik KEMAS,” katanya. – BERNAMA