MARA Sedia Bimbingan, Pembiayaan Perniagaan Tanpa Mengira Parti – Asyraf Wajdi

PUTRAJAYA, 14 Mac – Program bimbingan dan pembiayaan perniagaan di bawah Majlis Amanah Rakyat (MARA) untuk melahirkan usahawan bumiputera dilakukan tanpa mengira parti, kata Pengerusi Mara yang baharu Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.

Bekas Ketua Pemuda UMNO itu yang dilantik sebagai Pengerusi MARA yang ke-32 pada 10 Mac lepas berkata Mara tidak mengamalkan konsep tapisan sedemikian bagi memastikan semua program dan inisiatif Mara dinikmati golongan sasar.

“Sejak ditubuhkan, MARA tidak pernah pilih bulu. Bila saya berada dalam MARA saya akan teruskan tradisi ini sebab apa yang penting kami mahu pastikan hasrat untuk bangunkan modal insan dan usahawan tercapai.

“Usaha ini semua untuk anak bangsa kita, jangan lihat warna parti,” katanya pada sidang media selepas melancarkan Program Pembangunan Usahawan Teknikal Solar (Prosolar) di sini hari ini.

Asyraf Wajdi yang mempunyai latar belakang dalam bidang perbankan dan kewangan Islam berkata beliau mahu memanfaatkan pengalamannya untuk membantu Mara beralih kepada sistem pembiayaan yang lebih efisyen dan tidak melibatkan kos yang tinggi.

Asyraf Wajdi menerusi catatan di Facebook miliknya semalam menyatakan hasrat untuk membantu MARA memperkenalkan suatu sistem pembiayaan yang lebih efisien, tidak melibatkan kos yang tinggi dan menepati kehendak syariah dalam masa terdekat.

Mengenai Program Prosolar, beliau berkata ia diwujudkan sebagai suatu program berstruktur yang menyediakan pendedahan, latihan dan bimbingan kepada usahawan dalam pelbagai industri tenaga boleh baharu.

Seramai 20 peserta akan dipilih untuk menyertai fasa pertama program berkenaan, sebelum diteruskan ke fasa seterusnya bagi mencapai sasaran melahirkan 120 peserta. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.