Jambatan Bailey: Agong Rakam Penghargaan Kepada JKR, ATM

ROMPIN, 8 Mac – Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan penghargaan kepada Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Jabatan Kerja Raya (JKR), yang berkerjasama memasang jambatan bailey di jalan utama Felda Selancar dan Perwira Jaya, di sini.

Seri Paduka berharap jambatan bailey atau jambatan panel keluli bermodular sepanjang 42.7 meter itu, digunakan sebaik mungkin kerana ia sedikit sebanyak memberi kemudahan dan keselesaan sementara waktu.

Kredit gambar: Facebook Jabatan Kerja Raya Malaysia ( Public Works Department )

“Terima kasih kepada pihak JKR dan ATM, kerana dapat laksanakan pembinaan jambatan ini dan saya juga harap satu kajian perlu dibuat setelah keadaan mengizinkan untuk jalan di situ dibina semula seperti biasa,” titah baginda ketika mengadakan lawatan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan Leban Chondong, di sini hari ini.

Keberangkatan tiba baginda ke PPS yang menempatkan 117 mangsa banjir berkenaan, turut diiringi anakanda Pemangku Raja Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah dan Tengku Panglima Raja Kol Tengku Amir Nasser Ibrahim Shah.

Terdahulu, Seri Paduka berkenan mendengar sembah taklimat daripada Pegawai Daerah Rompin Datuk Ahmad Nasim Mohd Sidek, yang memaklumkan situasi banjir di daerah berkenaan.

Jambatan bailey dibuka secara satu lorong bermula semalam kepada semua jenis kenderaan ringan, dengan had muatan kenderaan yang ditetapkan untuk menggunakan jambatan itu ialah 40 tan, dengan had kelajuan 30km/j sahaja.

Pembinaan jambatan sepanjang 42.67 meter melibatkan 80 petugas JKR dan ATM itu, bagi membolehkan penduduk meneruskan urusan perjalanan selepas jalan utama berkenaan runtuh pada 1 Mac lepas, akibat limpahan air deras ekoran hujan lebat berterusan.

Runtuhan jalan yang dianggarkan sepanjang 23 meter itu, mengakibatkan kira-kira 12,000 penduduk setempat mengalami kesukaran untuk menuju ke bandar selepas jalan berkenaan ditutup bagi semua jenis kenderaan.

Dalam titah baginda, Al-Sultan Abdullah turut merakamkan penghargaan kepada agensi yang terlibat dalam operasi menyelamat dan menguruskan mangsa banjir, antaranya Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Polis Diraja Malaysia, ATM, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), ketua jabatan, wakil rakyat, kerajaan negeri dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

“Saya berterima kasih kepada semua pihak yang telah beri bantuan… saya harap semua keadaan PPS berada dalam keadaan baik, makanan yang cukup dan semua dalam keadaan bersih,” titah baginda.

Seri Paduka juga menzahirkan harapan, supaya operasi mencari seorang wanita yang dipercayai terjatuh ke dalam sungai ketika menyeberangi jambatan gantung di Kampung Aur Bukit Ibam, di sini segera menemukan mangsa.

“Semoga ahli keluarga bersabar dengan dugaan ini dan berharap operasi mencari dapat diteruskan, serta saya berdoa supaya mangsa ditemui dalam masa terdekat,” titah Al-Sultan Abdullah.

Pada Jumaat lepas, mangsa dikenali sebagai Nur Hafizah Zailan, 23, dilaporkan hanyut dibawa arus ketika menyeberangi jambatan itu sekitar 4 pagi.

Ketika lawatan itu, Seri Paduka turut berkenan mengurniakan sumbangan kepada mangsa banjir. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.