Kerjasama Universiti-Industri Mampu Lahir Pakar Keselamatan Siber – Mohamed Khaled
Beliau berkata negara kini memerlukan lebih ramai pakar keselamatan siber memandangkan penggunaan teknologi digital di Malaysia kian meningkat dan berisiko dengan ancaman serangan siber.
“Hubungan dengan industri juga membolehkan universiti melihat sama ada kurikulumnya terkini, sesuai dengan keperluan industri dan apakah pekerjaan yang ada pemintaan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada majlis menandatangani memorandum perjanjian persefahaman (MoU) antara Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan penyedia perkhidmatan kewangan global, Mastercard di kampus UTM Kuala Lumpur, di sini hari ini.
MoU yang bertujuan meningkatkan keupayaan serta kapasiti UTM dalam melahirkan bakat menangani isu keselamatan siber tersebut ditandatangani Naib Canselor UTM Datuk Dr Ahmad Fauzi Ismail dan Naib Presiden Eksekutif Perkhidmatan Mastercard Matthew Driver.
Mengenai MoU tersebut, Mohamed Khaled berkata Mastercard telah memilih UTM sebagai rakan kolaborasi dalam memberi peluang kepada orang ramai menerima latihan dalam bidang keselamatan siber yang ditawarkan universiti itu serta melahirkan graduan mahir dalam bidang tersebut.
Beliau berkata Mastercard akan mewujudkan sebuah pusat pemindahan ilmu untuk melakukan penyelidikan terhadap isu keselamatan siber dan penyedia perkhidmatan kewangan tersebut juga akan menghantar pakar untuk melihat kepada penambahbaikan kurikulum yang disediakan UTM selain memberi syarahan.
“Apa yang penting Mastercard juga akan bangunkan tenaga pakar daripada kalangan pensyarah UTM, supaya selepas itu UTM pula meneruskan usaha ini.
“Mastercard melalui kerjasama ini secara berkala akan terus adakan hubungan untuk meningkatkan kemampuan dan keupayaan universiti tersebut sebagai pusat melahirkan dan melatih pakar dalam penggunaan digital dan menghadapi cabaran yang lahir daripadanya termasuk sekuriti siber,” katanya. – BERNAMA