Jalan Jiwa Murni Di Sarawak Dinaik Taraf – Ahmad Zahid

KUCHING, 7 Mac – Kerajaan Persekutuan dengan kerjasama kerajaan Sarawak akan menaik taraf 578 kilometer (km) Jalan Jiwa Murni di negeri ini.

Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata usaha naik taraf itu juga akan diselesaikan sebelum sambutan Krismas pada tahun ini.

Kredit gambar: Utusan Sarawak

Beliau berkata tumpuan menaik taraf jalan juga akan diberikan di kawasan utara Sarawak seperti di Miri, Limbang dan Belaga.

“Keutamaan kita adalah jalan-jalan yang tidak lagi dilalui kenderaan balak, ini penting untuk dinaik taraf sebagai jalan utama untuk ke kawasan pendalaman.

“Yang penting ini mesti dibuat sebelum tiba Krismas, bukan sahaja kerana untuk mudahkan orang pulang tetapi kerana musim tengkujuh yang akan tiba selepas itu,” katanya selepas menghadiri mesyuarat penyelarasan bersama Kerajaan Sarawak di Wisma Bapa Malaysia di sini, hari ini.

Mesyuarat itu turut dihadiri oleh dua Timbalan Premier Sarawak iaitu Datuk Amar Douglas Uggah Embas dan Datuk Seri Dr Sim Kui Hian.

Sementara itu, Ahmad Zahid berkata Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah Persekutuan (FELCRA) dengan kerajaan Sarawak bersetuju bekerjasama dalam pembangunan estet tanaman padi di negeri itu.

Katanya pembangunan estet itu nanti bagi menampung permintaan domestik. – BERNAMA 

 

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.