ECERDC Sasar Capai RM9.5 Bilion Pelaburan Komited Ke Pahang – Wan Rosdy

KUANTAN, 7 Mac – Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) menyasarkan untuk mencapai RM9.5 bilion pelaburan komited ke Pahang tahun ini, iaitu peningkatan lebih 40 peratus daripada pelaburan komited RM5.5 bilion yang dicapai tahun lepas.

Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata antara sektor yang berpotensi ialah sektor pembuatan, perniagaan tani; pelancongan; minyak, gas dan petrokimia serta sektor tenaga boleh diperbaharui, yang dijangka turut mewujudkan peluang pekerjaan dan keusahawanan kepada rakyat negeri ini.

ECERDC menerusi usaha promosi intensif dengan kerjasama kerajaan negeri, kementerian dan agensi berkaitan telah mencapai RM2.07 bilion dalam pelaburan komited di Pahang dalam tempoh dua bulan pertama tahun ini, katanya.

“Saya yakin ECERDC akan mengekalkan momentum pelaburan dan meningkatkan aktiviti promosi pelaburannya untuk menarik lebih banyak pelaburan yang berkualiti dan bernilai tinggi ke Pahang.

“Projek dan inisiatif strategik yang dirancang oleh ECERDC untuk Pahang, seperti penambahbaikan infrastruktur dan program pembangunan modal insan yang dijalankan seiring dengan usaha promosi pelaburan akan membantu mengukuhkan kedudukan Pahang sebagai sebuah destinasi pelaburan pilihan,” katanya dalam satu kenyataan dikeluarkan di sini.

Kenyataan itu dikeluarkan selepas Wan Rosdy mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Pelaksanaan dan Penyelarasan (ICC) Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) Pahang yang berlangsung di Putrajaya hari ini.

Beliau berkata ECERDC kini dalam usaha ‘Mencipta Destinasi’ bagi merancakkan sektor pelancongan dan memacu ekonomi tempatan di Pantai Hiburan, Rompin yang antara lain merangkumi pembinaan pintu masuk, menara tinjau, gazebo, kaunter tiket dan kemudahan awam lain.

Pantai Hiburan juga telah dikenal pasti sebagai lokasi Taman Kenderaan Rekreasi (RV) pertama di Wilayah ECER.

Selain itu, ICC Pahang juga telah diberi taklimat mengenai status inisiatif pembangunan industri RV di Malaysia termasuk lawatan pengurusan tertinggi syarikat pengeluar RV Jerman, pengeluar komponen RV dan penganjur pameran perdagangan karavan ke Taman Automotif Pahang (PAP) dan Taman Teknologi Pahang (PTP) untuk meneroka potensi pelaburan dalam pemasangan dan pembuatan RV pada awal bulan lepas, katanya.

Menurut kenyataan itu, mesyuarat turut membincangkan mengenai projek ECERDC di Pahang seperti kerja menaik taraf jeti Kampung Salang di Pulau Tioman, Rompin dan paip agihan air dari Kemaman, Terengganu ke Gebeng, Kuantan. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.