MINDEF Lancar DIPKN Tahun Ini, Gubal Akta Berkaitan Industri Pertahanan Negara – Mohamad

KUALA LUMPUR, 6 Mac – Kementerian Pertahanan (MINDEF) akan melancarkan Dasar Industri Pertahanan dan Keselamatan Negara (DIPKN) tahun ini sebagai usaha berterusan kerajaan menyokong perkembangan industri pertahanan negara.

Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamad Hasan berkata DIPKN akan melakar pelbagai inisiatif dan dorongan untuk memacu perkembangan industri tersebut.

Beliau berkata penggubalan akta berkaitan industri pertahanan juga akan dilaksanakan memandangkan Malaysia memerlukan kerangka perundangan yang teratur untuk memacu keberhasilan industri pertahanan nasional.

“Saya menyarankan agar pelbagai sesi sumbang saran dilaksanakan bagi membolehkan semua pemegang taruh dalam industri pertahanan dapat memberikan idea dan kecerdasan dalam penggubalan akta tersebut.

“Harapan saya, dengan pelaksanaan DIPKN dan penggubalan undang-undang baharu tersebut, industri pertahanan negara akan melalui transformasi yang radikal,” katanya ketika berucap pada sesi ramah mesra bersama 60 orang wakil pemain industri pertahanan tempatan di sini hari ini.

Sesi berkenaan adalah aktiviti Majlis Industri Pertahanan, Penguatkuasaan dan Keselamatan Malaysia (MIDES) yang dikelolakan MINDEF serta turut dijadikan antara agenda utama kementerian berkenaan.

Pada masa sama, Mohamad berkata sektor industri pertahanan berupaya menjadi pemangkin penting pertumbuhan dan kebolehsaingan ekonomi negara jika dibangunkan secara strategik.

“Walaupun Malaysia masih jauh terkebelakang dalam sektor ini, namun kita mempunyai pelbagai potensi untuk membangunkannya. Kita adalah ekonomi yang liberal, usahawan kita vibrant (bertenaga) dan universiti kita mempunyai pelbagai kemampuan penyelidikan termaju.

“Paling penting, industri ini didukung penuh oleh kementerian dan kerajaan. Justeru, kedudukan dan prestasi ini tidak boleh dibiarkan dalam keadaan sedia ada,” katanya.

Sehubungan itu, beliau berkata MIDES merupakan salah satu strategi penting kementerian bagi mengenal pasti syarikat-syarikat yang berkemampuan dalam industri itu serta berperanan menarik lebih ramai pelabur asing untuk melabur.

Begitu juga Pameran Antarabangsa Maritim dan Aeroangkasa Langkawi 2023 (LIMA’23) yang mana ia merupakan arena untuk pemain industri meneroka pelbagai jaringan dalam perniagaan pertahanan, katanya.

“Kementerian juga mesti giat meneroka pelbagai perjanjian bilateral dengan pelbagai negara yang berfokus kepada kerjasama dalam industri ini… kita mesti beroperasi dalam ekosistem kolaborasi yang lebih luas, pelbagai dan dinamik.

“Saya menyeru agar kerjasama lebih erat dibangunkan, terutamanya dengan pelbagai universiti dan institusi penyelidikan negara dengan Institut Penyelidikan Sains dan Teknologi Pertahanan atau STRIDE menjadi penyelaras segala kerjasama ini,” katanya.

Turut hadir ialah Ketua Setiausaha MINDEF Datuk Seri Muez Abd Aziz dan Panglima Tentera Udara Jen Tan Sri Mohd Asghar Khan Goriman Khan. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.