Kerajaan Komited Pastikan Keamanan, Kemakmuran Dan Keselamatan Sabah Terjamin

KOTA KINABALU, 2 Mac – Kerajaan Persekutuan komited terhadap hal ehwal warga Sabah dan akan berusaha sedaya upaya untuk memastikan keamanan, kemakmuran, dan keselamatan Negeri di Bawah Bayu itu, sentiasa terjamin.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said berkata kerajaan juga, tidak berkompromi terhadap aspek kedaulatan dan keselamatan serta terus berusaha melindungi dan memelihara kepentingan, kekebalan serta kedaulatan Malaysia.

“Kerajaan akan terus mengambil segala tindakan yang perlu bagi menghentikan tuntutan dengan menggunakan segala kuasa, hak dan sumber yang ada,” katanya dalam kenyataan di sini semalam.

Terdahulu beliau menghadiri Sesi Taklimat Mengenai Isu Tuntutan Pihak Mendakwa Waris Kesultanan Sulu bersama Kerajaan Sabah dan ahli komuniti Sabah di sini, yang turut dihadiri Timbalan Ketua Menteri I Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan serta 25 orang Ahli Dewan Undangan Sabah.

Mengulas mengenai sesi taklimat itu, Azalina berkata taklimat itu bertujuan untuk menerangkan mengenai latar belakang melibatkan isu tuntutan tersebut dan perkembangan berkaitan tindakan undang-undang di empat bidang kuasa iaitu Sepanyol, Perancis, Luxembourg serta Belanda.

“Selain itu, taklimat ini juga bertujuan mendapatkan pandangan daripada warga Sabah yang terkesan secara langsung,” katanya.

Beliau berkata taklimat itu diadakan bersama dengan pegawai-pegawai Kerajaan Persekutuan dari Bahagian Hal-Ehwal Undang-Undang (BHEUU), Jabatan Peguam Negara (AGC), dan wakil Sekretariat Khas mengenai tuntutan itu iaitu Prof Datuk Dr Sundra Rajoo dan Datuk Firoz Hussein Ahmad Jamaluddin. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.