Rakyat Kedah Terseksa Masalah Air, Kerajaan Negeri Main Sentimen Murahan – Shaiful Hazizy

KUALA LUMPUR, 3 Mac – Ketua Penerangan UMNO Negeri Kedah, Datuk Shaiful Hazizy Zainol Abidin membidas kerajaan negeri untuk tidak bermain sentimen murahan dalam meraih populariti.

Katanya, ini kerana ada perkara lebih penting yang perlu diuruskan oleh kerajaan Negeri Kedah terutama membabitkan keperluan asas rakyat iaitu bekalan air.

“Pesanan saya kepada kerajaan negeri yang bakal tidak best tak lama lagi, jangan terus berjuang atas sentimen murahan yang dikitar semula.

“Jangan terus menagih sokongan rakyat dengan menyemai sentimen kenegerian yang tidak sepatutnya selepas sentimen agama dan bangsa gagal bertahan.

“Berhentilah menumpang populariti ustaz-ustaz viral dan influencer tiktok yang mempunyai follower teramai, renungkanlah nasib kakak-kakak dan ibu-ibu yang tertekan dan keletihan yang terpaksa berjaga pagi menunggu air pada setiap hari,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.

Mengulas lanjut beliau yang juga Timbalan Ketua UMNO Bahagian Merbok berkata rakyat di negeri itu semakin tertekan dengan masalah bekalan air yang membelenggu mereka sejak dua tahun.

“Saya bercakap tentang isu rakyat yang makin menghimpit, saya berbicara soal rakyat yang terpaksa bangun seawal jam tiga pagi untuk tahan air yang bakal habis pukul enam pagi hari yang sama.

“… ianya telah berlangsung sudah dua tahun, saya berbicara soal hidup rakyat yang sangat terkesan dan terganggu.

“Saya dah dapat isyarat untuk slow down kerana isu ini mungkin akan terkait figura-figura besar tertentu, tapi saya jalan terus, bring it on demi rakyat,” ujar beliau.

Terdahulu, Shaiful Hazizy sebelum ini meluahkan kebimbangan apabila loji rawatan air (LRA) Bukit Selambau dan Sungai Limau yang berhadapan dengan kesulitan tataurus sehingga menjejaskan naik taraf projek tersebut.

Jelas beliau kerisauan itu berasas kerana difahamkan kemajuan pembinaan dua projek itu masih berada di bawah paras 10 peratus disebabkan pelbagai alasan meskipun masa kini ia sepatutnya mencapai lebih 20 peratus. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.