Jaga Keselamatan, Johor Diuji Bencana Banjir Sekali Lagi – Onn Hafiz

JOHOR BAHRU, 1 Mac – Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi hari ini mengingatkan semua agar sentiasa mengutamakan keselamatan termasuk para petugas yang memindahkan mangsa banjir susulan negeri itu dilanda banjir sekali lagi untuk tahun ini.

Beliau berkata semua agensi di bawah Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN), telah pun digerakkan sejak malam tadi bagi membantu mangsa banjir.

Ahli Dewan Undangan Negeri Machap itu juga telah turun meninjau situasi banjir di sekitar bandar raya ini serta melawat mangsa banjir di pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan Bukit Mutiara, Bandar Dato Onn, di sini, yang merupakan antara 21 PPS yang telah dibuka di empat daerah yang terjejas banjir setakat jam 8 pagi tadi.

“Johor diuji lagi dengan bencana banjir. Selain itu, saya sempat melihat sendiri operasi menyelamat mangsa yang masih berada di kediaman berhampiran.

“Saya dimaklumkan sehingga sekarang seramai 560 keluarga dengan jumlah 1,591 mangsa terjejas (setakat 8 pagi) akibat banjir ini serta dijangka berlaku pertambahan jumlah mangsa dalam waktu terdekat,” kata beliau menerusi satu hantaran di Facebook, hari ini.

Menteri Besar juga menasihati agar semua rakyat Johor untuk terus peka dan mendengar arahan pihak keselamatan, juga sentiasa berhati-hati serta saling menjaga sesama mereka.

Tidak cukup sebulan, negeri itu sekali lagi dilanda banjir mulai malam tadi ekoran hujan lebat tidak berhenti sejak pagi semalam.

Setakat 9 pagi tadi, jumlah mangsa banjir ialah 2,162 orang melibatkan 581 keluarga di lima daerah terjejas banjir iaitu Segamat, Kluang, Kota Tinggi, Johor Bahru dan Kulai. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.