Mahdzir Khalid Menang Tanpa Bertanding Jawatan Ketua UMNO Bahagian Padang Terap

ALOR SETAR, 28 Feb – Naib Presiden UMNO Datuk Seri Mahdzir Khalid diumumkan menang tanpa bertanding bagi jawatan Ketua UMNO Bahagian Padang Terap setelah tiada pencabar merebut jawatan itu dalam Pemilihan UMNO 2023-2026 yang dijadualkan berlangsung pada Mac ini.

Setiausaha Badan Perhubungan UMNO Kedah Datuk Ariffin Man berkata oleh itu, terdapat 36 individu yang akan bertanding untuk jawatan Ketua UMNO di 14 Bahagian daripada 15 Bahagian keseluruhannya di negeri ini dengan lima daripada mereka merupakan bekas Ketua UMNO Bahagian yang membuat kemunculan semula.

“Mereka yang bekas Ketua Bahagian terdahulu menawarkan diri bertanding (pada pemilihan kali ini) ialah di (Bahagian) Jerlun, Datuk Abdul Rahman Ariffin, Datuk Seri Mohd Johari Baharom (Kubang Pasu), Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah (Alor Setar), Mejar (B) Datuk Abdul Rahim Saad (Sungai Petani) dan Abdul Rahman Mahamud (Padang Serai),” katanya pada sidang media di sini semalam.

Ariffin berkata Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kedah Datuk Seri Jamil Khir Baharom akan mempertahankan jawatan Ketua UMNO Bahagian Jerai yang bakal berdepan empat penjuru dalam pemilihan itu.

Sementara itu, beliau berkata untuk jawatan Timbalan Ketua UMNO Bahagian pula direkodkan seramai 34 calon menawarkan diri untuk merebut jawatan itu di 15 Bahagian manakala 36 calon lagi adalah untuk jawatan Naib Ketua UMNO Bahagian.

“Jawatan Ketua Wanita UMNO Bahagian hanya 16 calon menawarkan diri bertanding, Ketua Pemuda UMNO Bahagian (18 calon) dan Ketua Puteri UMNO Bahagian (15 calon),” katanya.

Beliau berkata jawatan Timbalan Ketua Bahagian yang menang tanpa bertanding adalah di empat bahagian iaitu melibatkan Bahagian Pokok Sena, Alor Setar, Baling dan Padang Terap manakala bagi jawatan Naib Ketua Bahagian menang tanpa bertanding membabitkan Bahagian Pokok Sena dan Alor Setar.

“Jawatan Ketua Wanita UMNO Bahagian yang menang tanpa bertanding pula berlaku di sembilan bahagian iaitu Bahagian Langkawi, Alor Setar, Pendang, Jerai, Sik, Merbok, Sungai Petani, Baling dan Padang Serai.

“Jawatan Ketua Pemuda UMNO Bahagian yang menang tanpa bertanding melibatkan enam bahagian iaitu Bahagian Padang Terap, Alor Setar, Pendang, Jerai, Baling dan Padang Serai,” katanya.

Ariffin berkata jawatan Ketua Puteri UMNO Bahagian yang menang tanpa bertanding pula membabitkan tujuh bahagian iaitu Bahagian Padang Terap, Pokok Sena, Pendang, Jerai, Sik; Baling dan Padang Serai.

Beliau berkata kira-kira 40 peratus calon muka baharu pada peringkat pucuk pimpinan tertinggi di bahagian dalam pemilihan kali ini. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.