Bingkas Bangkit, Pemilihan UMNO Peluang Pilih Kepimpinan Bangunkan Parti – Tengku Zafrul

KUALA LUMPUR, 28 Feb – Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz beranggapan pemilihan pada kali ini merupakan peluang untuk memilih barisan kepimpinan yang boleh membangunkan semula parti.

Ujarnya, meskipun UMNO/Barisan Nasional (BN) tidak bernasib baik semasa Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 lalu, parti itu mesti bingkas bangun untuk berhadapan dengan enam Pilihan Raya Negeri (PRN) kelak.

“Kita perlu belajar apa kesilapan kita pada pilihan raya lepas. Kita masih ada PRN di enam negeri dan kita berada dalam kerajaan pada masa ini.

“Pada pendapat saya, inilah peluang kita untuk memilih calon yang betul-betul boleh memberi sumbangan dan khidmat kepada parti supaya kita dapat bangun semula terutamanya apabila menghadapi PRN kelak,” katanya kepada UMNO Online.

Menawarkan diri sebagai Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO pada musim pemilihan kali ini, Tengku Zafrul bertekad untuk meneruskan khidmat bakti beliau kepada parti dan berhasrat menarik lebih ramai golongan profesional bagi membantu parti.

“Saya baru sahaja menghantar borang pendaftaran calon sebagai Ahli MKT. Saya harap dalam Pemilihan UMNO kali ini saya diberi peluang untuk mewakili pucuk pimpinan di peringkat untuk parti.

“Saya telah bersama-sama UMNO sejak 1998 walaupun sebelum ini tidaklah begitu aktif tetapi sejak kebelakangan ini semakin aktif, memandangkan saya juga ahli jemaah menteri di kabinet Kerajaan Perpaduan maka saya perlu terus berkhidmat untuk UMNO dan MKT merupakan platform yang sesuai.

“Salah satu kekuatan saya ialah saya memang lama dalam sektor swasta sebagai seorang professional lebih 20 tahun dan saya rasa sekiranya kita tarik lebih ramai golongan professional bagi menyertai UMNO, ‘this definitely will help strengthen the party’,” katanya lagi.

Menurutnya lagi, sekiranya agenda menarik golongan profesional menyertai UMNO dilaksanakan, sudah semestinya agenda memperkasakan parti dapat diperkuatkan.

“Semasa di universiti dan memasuki alam pekerjaan dahulu saya banyak terlibat dalam menubuhkan persatuan-persatuan profesional. Saya rasa kalau kita teruskan agenda menarik golongan profesional muda dan yang ada sekarang, ini dapat memperkuatkan agenda perjuangan UMNO.

“Kepada semua calon yang telah mendaftarkan diri, saya ucapkan ‘goodluck’. Semoga kita berkempen dengan cara berhemah dan bersih. Semoga semua berjaya terutamanya bagi mereka yang ingin menabur bakti kepada UMNO,” katanya lagi. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.