Tidak Perlu Rundingan, Protokol Untuk Siasat Hakim – Isham

KUALA LUMPUR, 25 Feb – Ketua Penerangan UMNO Malaysia, Isham Jalil berkata kenyataan Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat berkenaan protokol yang diperlu dipatuhi bagi menyiasat hakim tidak didapati dalam Perlembagaan dan undang-undang.

Katanya ini kerana jika pihak berkuasa perlu meminta kebenaran atau berunding dengan Ketua Hakim untuk menyiasat dan mendakwa hakim yang melakukan jenayah sebagai tidak kena dengan prinsip pengasingan kuasa dan semak imbang antara Eksekutif, Kehakiman dan Parlimen.

“Maafkan saya jika tersinggung, tetapi saya tidak setuju dengan apa yang Ketua Hakim Tengku Maimun kata ini. Sebab jika hakim itu penjenayah, tidak perlu adab untuk menangkapnya, hanya perlu ikut prosedur seperti yang dikenakan ke atas orang lain. Untuk kita tangkap pencuri, kita tidak perlu beri salam tidak kiralah jika pencuri itu seorang hakim.

“Ketua Hakim tidak boleh paksa cabang Eksekutif untuk berunding atau meminta kebenaran beliau untuk penguatkuasa undang-undang menyiasat seseorang hakim yang disyaki melakukan jenayah.

“Protokol seperti ini tidak ada dalam Perlembagaan atau mana-mana undang-undang apabila ia melibatkan isu jenayah hakim dan bukannya isu etika,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.

Beliau juga berkata negara-negara lain termasuk di England dan Amerika Syarikat, jika hakim melakukan jenayah, pihak berkuasa boleh menyiasat, menahan dan mendakwa hakim tersebut tanpa minta kebenaran atau berunding dengan Ketua Hakim.

“Contohnya, tidak masuk akal untuk pihak polis atau SPRM meminta kebenaran Ketua Hakim sebelum menangkap, menyiasat dan mendakwa hakim yang membunuh atau mengambil rasuah.

“Di samping untuk mengelakkan bias rakan sekerja, ini juga kerana tugas hakim dan ketua hakim adalah untuk menghakimi kes, bukan untuk menyiasat, menangkap dan mendakwa, itu bukan tugas hakim, itu tugas penguatkuasa undang-undang seperti polis dan SPRM. Oleh sebab itu penguatkuasa tidak perlu minta kebenaran hakim untuk siasat suspek yang mana tugas ini bukanlah di bawah bidang kuasa hakim.

“Jika tidak dan jika penguatkuasa perlu minta kebenaran atau berunding dengan ketua hakim untuk siasat seseorang waima hakim lain seperti di atas, maka kuasa untuk menyiasat, mendakwa dan menghakim akan semuanya terletak di tangan badan kehakiman dan dengan ini tiadalah semak imbang.

“… dan hakim yang disyaki melakukan jenayah tidak terkecuali dari prosidur siasatan yang dikenakan ke atas orang lain, mereka tidak ada imuniti atau keistimewaan dalam perkara-perkara jenayah. Tiada orang yang berada di atas undang-undang, ini termasuklah hakim,” ujar beliau.

Isham malah menambah apabila seseorang hakim melakukan jenayah, ia bukan soal etika kerja yang boleh dibawa ke tribunal sesama hakim namun perlu disiasat oleh pihak berkuasa seperti polis atau SPRM bukan pergi ke tribunal sesama hakim.

Menurut beliau meminta supaya pihak berkuasa berunding dengan ketua hakim sebelum pihak berkuasa menyiasat hakim sama seperti jika Speaker Dewan Rakyat meminta pihak berkuasa berunding dengannya dahulu sebelum menangkap ahli Parlimen, atau berunding dengan Perdana Menteri dulu sebelum menangkap menteri. Ini tidak masuk akal.

“Saya gesa Ketua Hakim supaya tidak membuat penghakiman yang dilihat menegak benang yang basah. Ini bukan soal perundangan, ini soal dasar awam dan logik akal. Rakyat memerhati dan jika badan kehakiman dilihat bias, ini tidak baik ke atas keyakinan orang ramai terhadap sistem keadilan negara. Sebab jika rakyat hilang kepercayaan kepada sistem kehakiman, maka undang-undang akan sukar ditegakkan,” katanya. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.