Perak Rancang Pelbagai Pengisian Menarik HAWANA 2023

GERIK, 25 Feb – Kerajaan Negeri Perak akan menganjurkan pelbagai program menarik berbentuk karnival sempena Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2023 yang akan diadakan di Ipoh pada 27 hingga 29 Mei ini.

Menteri Besar Datuk Seri Saarani Mohamad berkata ia akan melibatkan pelbagai agensi keusahawanan dan pelancongan di negeri ini bagi mempromosikan produk masing-masing.

“Kita mengambil kesempatan Tahun Melawat Ipoh dan Tahun Melawat Negeri Perak serta sempena pelancaran Pelan Perak Sejahtera 2030 sebagai pengisian yang mana kita bercadang untuk mengadakannya di Bulatan Sultan Azlan Shah, Bandar Meru Raya.

“Saya difahamkan Perdana Menteri juga akan hadir pada malam terakhir HAWANA dan saya telah meminta Setiausaha Kerajaan Negeri untuk bersama-sama menjadi urusetia dan kita akan cuba menjayakannya.

“”Saya telah dikunjungi Timbalan Ketua Setiausaha (Komunikasi Strategik dan Industri Kreatif) Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) Mastura Ahmad Mustafa dengan tim beliau serta Bernama berkaitan HAWANA baru-baru ini,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Jelajah Hari Usahawan Negeri Perak 2023 Daerah Hulu Perak di Arena Datuk Hasbullah di sini hari ini.

Saarani berkata beliau difahamkan penganjuran HAWANA itu dijangka disertai ribuan pengamal media tempatan serta dari beberapa negara ASEAN.

Sebelum ini, Mastura dilaporkan berkata sambutan HAWANA 2023 merupakan peluang kepada pengamal media untuk bertemu dan beramah mesra selain bertukar-tukar pandangan serta mengadakan perbincangan bersama masyarakat tempatan.

Sementara itu, ditanya mengenai Belanjawan 2023, Saarani berkata Perak bersyukur kerana bakal memperoleh Ibu Pejabat Polis Kontinjen dan kuarters polis baharu.

“Perak satu-satunya negeri yang belum mempunyai IPK yang moden. Kita telah berjuang setengah mati kerana tapak tanah sudah lama ada di Bandar Meru Raya cuma menunggu peruntukan jadi boleh menggantikan IPK yang ada sekarang,” katanya.

Semalam, Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan Datuk Seri Anwar Ibrahim semasa membentangkan Belanjawan 2023 berkata menerusi belanjawan itu, sebuah IPK Perak dan kuarters polis baharu akan dibina dengan kos RM450 juta. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.