Elaun Pembantu KEMAS Dinaikkan Kepada RM800 Mulai Mac Ini

DUNGUN, 25 Feb – Elaun Pembantu Pendidikan Masyarakat Sukarela (PPMS), Tabika Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) akan dinaikkan daripada RM500 kepada RM800 sebulan mulai bulan depan, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata kenaikan elaun kepada 9,439 orang PPMS di seluruh negara itu melibatkan tambahan peruntukan sebanyak RM30 juta melalui Belanjawan 2023 yang dibentang Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, semalam.

“Kenaikan elaun ini adalah sebagai penghargaan kepada PPMS yang melaksanakan tugas seperti menyediakan keperluan makan minum, membantu memastikan aspek kebersihan premis dan memastikan keselamatan kanak-kanak dari semasa ke semasa,” katanya.

Ahmad Zahid berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan lawatan kerja ke Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah) di Ibu Pejabat Ketengah di Bandar Al Muktafi Billah Shah, Dungun di sini hari ini.

Sebelum ini bayaran elaun saguhati kepada PPMS bermula pada 2011 adalah sebanyak RM400 sebulan sebelum dinaikkan kepada RM500 sebulan pada 2017.

Sementara itu Ahmad Zahid berkata beliau berharap Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) memahami bahawa kerajaan sentiasa berusaha untuk memenuhi harapan dan permintaan mereka, di sebalik kekangan kewangan yang sedang dialami.

“(Bayaran) emolumen umpamanya dan wang pencen yang terpaksa dibayar, itu adalah kos tetap yang harus ditanggung pihak kerajaan dan saya fikir Cuepacs sebagai sebuah organisasi yang menjaga kepentingan penjawat-penjawat awam tentunya memahami situasi ini.

Pada hemat saya Perdana Menteri juga memberikan keperhatinan yang tinggi kepada permintaan penjawat awam termasuk memberikan bonus khusus RM700 dan RM350 kepada pesara untuk Aidilfitri ini,” katanya. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.