Melaka Peruntuk Lebih RM1 Juta Beri Lampin Pakai Buang Dewasa, Susu

MELAKA, 19 Feb – Kerajaan Melaka memperuntukkan lebih RM1 juta bagi program pemberian lampin pakai buang dewasa dan susu percuma kepada pesakit kronik dan warga emas terlantar sakit di negeri itu, tahun ini.

Exco Hal Ehwal Wanita, Pembangunan Keluarga dan Kebajikan negeri Datuk Kalsom Nordin berkata program berkenaan masih diteruskan seperti tahun sebelum ini dalam usaha memastikan kebajikan golongan tersebut sentiasa terbela selain meringankan beban mereka khususnya golongan B40 dan tidak bekerja.

“Setiap bulan, seorang pesakit akan dibekalkan sekurang-kurangnya tiga bungkus lampin pakai buang yang dianggarkan berjumlah RM60 dan ia amat besar bagi golongan yang terjejas ini.

“Bagi pemberian susu percuma pula, ia bergantung keperluan pesakit mengikut nasihat daripada doktor dan susu yang diberikan merupakan susu formula khas yang menelan harga agak tinggi bagi satu tin susu,” katanya.

Beliau berkata kepada pemberita selepas merasmikan Program Berkhatan Beramai-ramai anjuran Pertubuhan Komuniti Legacy EIS Group Berhad (Comleg Malaysia) yang disertai 64 kanak-kanak lelaki berusia lima hingga 14 tahun di sini hari ini.

Dalam perkembangan lain, Kalsom berkata Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Melaka telah menyelamatkan 42 orang papa di negeri itu yang tiada tempat tinggal dan memerlukan perlindungan di bawah Akta Orang Papa 1977 (Akta 183), sepanjang tahun lepas.

Beliau berkata daripada jumlah itu, mangsa yang diselamatkan terdiri daripada 32 lelaki dan 10 wanita berusia lingkungan 20 hingga 60-an.

Katanya 35 daripada mereka diselamatkan di daerah Melaka Tengah, lima di Alor Gajah manakala dua di Jasin.

“Golongan yang diselamatkan JKM Melaka ini akan ditempatkan di pusat jagaan yang bersesuaian mengikut persetujuan mereka dan ada antaranya kita hantar pulang semula ke rumah.

“Berdasarkan pertemuan dengan golongan gelandangan atau papa ini khususnya warga emas, mereka keluar dari rumah kerana kecil hati atau merajuk dengan ahli keluarga seperti isteri dan anak,” katanya.

Beliau berkata golongan papa yang mempunyai masalah mental pula akan dihantar ke hospital bagi menjalani rawatan. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.