Lantikan Ketua Kampung Di Johor Selewat-Lewatnya Pada Mei – Zahari

ISKANDAR PUTERI, 19 Feb – Kerajaan Negeri Johor akan menyelesaikan pelantikan ketua-ketua kampung di negeri itu selewat-lewatnya pada Mei ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar negeri Datuk Zahari Sarip berkata setakat ini, seramai 625 ketua kampung telah dilantik bermula Januari tahun ini.

Beliau berkata secara keseluruhan sebanyak 1,700 permohonan diterima daripada 667 kekosongan yang diperlukan, sekali gus menunjukkan ramai individu yang berminat untuk menjadi ketua kampung.

“Jadi untuk baki seramai 42 ketua kampung masih lagi dalam proses pemilihan, temu duga dan sebagainya.

“Pelantikan juga masih dalam proses kerana antaranya membabitkan pelbagai perkara termasuk masalah dan isu pertindihan daripada masyarakat,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Amanat Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi Bersama Ketua Kampung, di sini hari ini.

Zahari berkata permohonan ketua kampung dibuka untuk individu yang berusia 21 hingga 65 tahun dan mereka yang dilantik juga akan menjalani pelbagai kursus termasuk mengambil Diploma Eksekutif Pengurusan selama tiga bulan.

Sementara itu, Onn Hafiz mengumumkan peruntukan sebanyak RM667,000 bagi ketua-ketua kampung melaksanakan program agenda Johor Bersih.

“Agenda Johor Bersih, perkara yang dekat di hati saya. Setiap minggu kita sudah mula bergerak membersihkan Johor termasuk pihak berkuasa tempatan.

“Jadi sebagai permulaan, untuk membantu beli cangkul, plastik dan sebagainya, setiap ketua kampung akan menerima RM1,000 dengan keseluruhan peruntukan sebanyak RM667,000,” katanya.

Beliau berkata elaun ketua kampung juga telah dinaikkan daripada RM900 kepada RM1,200 dengan pemberian elaun bermula pada Januari lepas. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.