Median Simpanan Ahli KWSP Semua Kaum Susut 50 Peratus Antara Sebab Pengeluaran Tidak Dibenarkan – Ahmad

KUALA LUMPUR, 16 Feb – Median simpanan ahli Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bagi semua kaum turun 50 peratus kepada RM8,100 pada 2022 daripada RM16,600 pada tahun sebelum pandemik COVID-19, menurut Timbalan Menteri Kewangan Datuk Seri Ahmad Maslan.

Beliau berkata, ketika COVID-19, seramai 8.1 juta ahli mengeluarkan RM145 bilion untuk kesemua empat jenis pengeluaran iaitu i-Lestari, i-Sinar, i-Citra dan pengeluaran khas daripada April hingga Mei 2022.

“Median simpanan kaum Melayu yang terdiri daripada tujuh juta ahli menyusut kepada RM5,500 (sekarang) daripada RM16,900 pada April 2020.

“Jadi, ini adalah antara sebab kerajaan membuat keputusan untuk tidak lagi membenarkan pengeluaran KWSP,” katanya ketika sidang media di Dewan Rakyat hari ini.

Ahmad berkata bagi ahli KWSP bumiputera lain sebanyak 1.4 juta orang turut menyaksikan median simpanan mereka merosot kepada RM3,300 berbanding sebelum COVID-19 iaitu RM10,600.

Semalam, Ahli Parlimen Pagoh Tan Sri Muhyiddin Yassin pada sesi perbahasan Titah Diraja di Persidangan Parlimen meminta kerajaan mempertimbangkan pengeluaran KWSP secara bersasar bagi membantu meringankan beban rakyat yang terjejas. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.