Onn Hafiz Tawar Diri Tanding Ketua UMNO Bahagian Simpang Renggam

JOHOR BAHRU, 15 Feb – Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi hari ini menawarkan diri untuk bertanding jawatan Ketua UMNO Bahagian Simpang Renggam pada pemilihan parti kali ini.

Beliau yang tidak bertanding di peringkat pusat berkata, keputusan itu dibuat selepas mendapat pandangan pelbagai pihak termasuk ahli keluarga, sahabat, pemimpin, jentera akar umbi terutamanya di Bahagian Simpang Renggam tentang jawatan yang sesuai untuknya.

“Saya telah membuat keputusan untuk terus memberi fokus khidmat bakti kepada negeri Johor dan Insya-Allah akan terus berusaha mengukuhkan pentadbiran dan pembangunan negeri Johor… dan di kawasan saya.

“Semoga keputusan ini diredai dan dirahmati Allah SWT. Saya merayu dan memohon sokongan dari perwakilan UMNO Simpang Renggam,” kata Ahli Dewan Undangan Negeri Machap itu menerusi hantaran di Facebook beliau hari ini.

Onn Hafiz, 44, kini adalah Naib Ketua UMNO Bahagian Simpang Renggam manakala Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO Datuk Zakaria Dullah adalah Ketua UMNO Bahagian Simpang Renggam sejak 2018.

Sementara itu, Ketua Pemuda UMNO Bahagian Ayer Hitam Joni Muhamat Yahya menawarkan diri untuk mengetuai kepimpinan Bahagian Ayer Hitam pada pertandingan kali ini.

Bahagian itu kini diketuai Datuk Samsol Bari Jamali yang telah memegang jawatan itu selama 19 tahun dan kini Setiausaha Badan Perhubungan UMNO Johor.

Joni, 42, yang memimpin sayap pemuda di bahagian itu selama lima tahun, menyifatkan keputusannya untuk bertanding adalah bagi memberi nafas baharu untuk parti sekali gus berusaha untuk menawan kembali hati masyarakat termasuk golongan anak muda.

“Parti yang telah mencapai usia lebih 70 tahun ini perlu mengembalikan kepercayaan orang ramai terhadapnya, sepertimana UMNO pada ketika dahulu yang sering menjadi tempat ‘mengadu’ rakyat,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Setakat ini, kedua-dua ketua bahagian berkenaan belum menyuarakan hasrat sama ada akan mempertahankan jawatan mereka.

Pemilihan UMNO diadakan mulai 1 Feb hingga 18 Mac ini dengan Persidangan Tahunan UMNO Cawangan dan Pemilihan Jawatankuasa Cawangan, Wanita, Pergerakan Pemuda dan Pergerakan Puteri Cawangan ialah pada 1 hingga 26 Feb ini. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.