Johor Punya Kelebihan Sedia Tanah Untuk Pertanian Moden Bagi Syarikat Singapura

SINGAPURA, 14 Feb – Negeri Johor mempunyai kelebihan sebagai jiran terdekat Singapura dalam penyediaan suasana dan prasarana mesra pelaburan serta tanah yang khusus untuk pertanian moden, kata Menteri Besarnya Datuk Onn Hafiz Ghazi.

Onn Hafiz yang ketika ini dalam rangka lawatan rasmi tiga hari ke Singapura sejak Ahad (12 Feb) berkata beliau menghadiri taklimat Agensi Makanan Singapura (SFA) berkenaan inisiatif Keselamatan Makanan Singapura, serta syarikat penghasil makanan Archisen.

“Isu keselamatan bekalan makanan merupakan antara isu penting di Johor dan saya berharap agar negeri ini dapat bekerjasama dengan Singapura dalam penghasilan produk makanan segar tempatan, selain polisi berkenaan kelangsungan bekalan makanan,” kata beliau dalam catatan di laman Facebook rasminya.

Beliau turut melawat Pusat Kebangsaan Sains Makanan (NCFS), yang merupakan asas program keselamatan makanan bersepadu SFA dan mendengar taklimat mengenai strategi pembangunan sekuriti makanan mereka iaitu “Three Food Baskets – Diversify import sources; Grow local; and Grow overseas”.

Onn Hafiz juga mengadakan lawatan ke syarikat Archisen, yang merupakan hasil ‘grow local’ (hasilkan di tempat sendiri) mereka dalam mengendalikan salah satu ladang dalaman dengan hasil tertinggi di Singapura, dengan unjuran hasil sehingga 100 tan sayur-sayuran setahun.

“Umum mengetahui Singapura merupakan negara di tangga pertama di dunia dalam Indeks Sekuriti Makanan Global untuk tahun kedua berturut-turut pada tahun 2019, walaupun Singapura memperoleh lebih daripada 90 peratus makanan dari lebih 170 negara dan wilayah, termasuk Malaysia, terutamanya di Johor.

“Johor juga merupakan pengeksport utama produk pertanian ke Singapura seperti buah-buahan, ayam, sayur-sayuran dan sebagainya,’ tulisnya lagi.

Menteri besar itu percaya dengan kelebihan Johor sebagai jiran terdekat Singapura dalam penyediaan suasana dan prasarana mesra pelaburan, serta tanah yang khusus untuk pertanian moden, negeri itu mampu menyediakan tapak untuk syarikat seperti Archisen untuk memperluaskan perniagaan mereka.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 30 Jan berkata bidang keterjaminan makanan merupakan salah satu bidang yang boleh diteroka bersama dengan Singapura, dengan sasaran memberi manfaat kepada rakyat kedua-dua negara.

“Bidang ini (keterjaminan makanan) yang saya fikir kami akan dapatkan sokongan Singapura, untuk menggunakan Malaysia sebagai pusat utama untuk pengeluaran, bagi manfaat kedua-dua negara,” katanya yang ketika itu melakukan lawatan rasmi ke republik ini.

Hadir sama dalam lawatan ke SFA termasuklah Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Luar Bandar Datuk Zahari Sarip; Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pembangunan), Datuk Mohammed Ridha Abd Kadir; dan Ketua Eksekutif, Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA) Datuk Dr Badrul Hisham Kassim. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.