Sejumlah 60 Rumah Percuma Dibangun Di Bawah Program Melaka Rumahku Tahun Ini

ALOR GAJAH, 12 Feb – Sebanyak 60 rumah percuma akan dibangunkan di bawah Program Melaka Rumahku di negeri itu dengan peruntukan RM3 juta pada tahun ini.

Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Sulaiman Md Ali berkata peruntukan maksimum berjumlah RM50,000 bagi setiap satu rumah dan projek itu akan dibangunkan Lembaga Perumahan Melaka (LPM) sebagai satu daripada program tanggungjawab sosial korporat (SCR) agensi itu.

Beliau berkata rumah berkeluasan 800 kaki persegi itu akan dibina untuk golongan yang kehilangan rumah akibat bencana seperti banjir, ribut atau kebakaran selain rumah yang telah usang dan tidak selamat diduduki.

Penyerahan Kunci Rumah
MASJID TANAH, 12 FEB — Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md Ali menandatangan plak sewaktu hadir ke Majlis Pelancaran dan Penyerahan Kunci Rumah Puan Maznah Abd Rahim melalui Program Melaka Rumahku 2023 di Kampung Durian Daun, Lendu.

“Rumah percuma ini akan ditawarkan kepada mereka yang layak serta memerlukan dan permohonan akan dinilai Jawatankuasa Penilaian dan Pemilihan Program Melaka Rumahku.

“Pembangunan rumah berkenaan juga melibatkan kerjasama beberapa agensi, badan korporat dan anak syarikat kerajaan negeri seperti Tenaga Nasional Berhad, Syarikat Air Melaka Berhad, Kumpulan Melaka Berhad dan pihak berkuasa tempatan,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan Majlis Pelancaran dan Penyerahan Kunci Rumah Program Melaka Rumahku 2023 yang turut dihadiri Pengarah Eksekutif LPM Mohd Salleh Hamidom.

Sulaiman berkata menerusi program sama, tujuh rumah percuma telah dibina untuk golongan memerlukan dengan peruntukan berjumlah RM322,000 manakala tiga permohonan telah diluluskan di bawah peruntukan tahun itu pada 6 Feb lepas melibatkan pembinaan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Pantai Kundor, Sungai Udang dan Lendu.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata lebih banyak syarikat berkaitan kerajaan (GLC) diminta turut serta menyumbang pada Program Melaka Rumahku dalam bentuk pembelian perabot atau peralatan keperluan rumah dan dapur.

“Sebagai contoh, ada pemohon seperti mangsa kebakaran yang tinggal sehelai sepinggang dan sumbangan perabot secara tidak langsung meringankan beban mereka sekali gus menyempurnakan lagi rumah percuma ini agar mereka dapat tinggal dengan lebih selesa,” katanya.

Beliau berkata selain itu, kerajaan negeri akan membina sekurang-kurangnya satu rumah transit di setiap DUN di negeri itu untuk menempatkan sementara golongan yang kehilangan tempat tinggal dan mereka dibenarkan tinggal tanpa dikenakan sewaan.

Katanya setakat ini, terdapat 10 rumah transit di negeri itu yang telah dibina LPM di Pokok Mangga dalam DUN Kesidang.

Sementara itu, penerima rumah percuma Maznah Abd Rahim, 63, dari Kampung Durian Daun, Masjid Tanah berkata beliau sangat bersyukur kerana dapat berpindah ke rumah baharu setelah kira-kira dua bulan terpaksa menumpang di rumah saudaranya selepas kediaman didudukinya 20 tahun lepas musnah dalam kebakaran pada 27 Okt lalu.- BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.