Jualan Rahmah Tok Ajak Manfaatkan Hampir 2,000 Pengunjung

MELAKA, 12 Feb – Kombo khas RM20 mengandungi lapan barangan keperluan menjadi rebutan hampir 2,000 pengguna di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Telok Mas di sini menerusi Jualan Rahmah Tok Ajak hari ini.

Lapan barangan itu terdiri daripada beras kampit lima kilogram (kg), satu bungkus bihun, dua peket minyak masak, dua peket gula dan dua peket tepung yang dijual pada harga lebih rendah berbanding RM31.50 harga pasaran.

Exco Pembangunan Luar Bandar, Pertanian dan Industri Asas Tani negeri Datuk Abdul Razak Abdul Rahman berkata inisiatif program itu bagi menyahut seruan kerajaan Persekutuan yang memperkenalkan Menu Rahmah baru-baru ini dalam usaha membantu meringankan beban kos sara hidup rakyat.

“Selain itu, jualan ini turut menawarkan ayam pada harga RM10 seekor dan telur ayam gred C RM10 sepapan kepada 1,000 pengunjung terawal.

“Menerusi program jualan ini, pengunjung dapat berjimat dan menikmati subsidi serendah RM3 hingga RM11.50 bagi setiap pembelian barangan yang ditawarkan,” katanya kepada pemberita pada program tersebut di Kampung Ketapang, Telok Mas di sini hari ini.

Beliau berkata orang ramai mula tiba sejak 8.20 pagi dan jualan itu tamat dalam tempoh 30 minit sahaja, justeru pihaknya bercadang untuk mengadakan program tersebut sebulan atau dua minggu sekali.

Sementara itu, seorang pengunjung, Sariah Mahmud,53, berkata beliau gembira dapat membeli barangan keperluan pada harga yang sangat berbaloi.

“Kalau biasanya kita beli beras harga lebih RM15 tetapi pada prorgam ini dengan RM20 kita bukan sahaja dapat beli beras malah pelbagai barangan lain. Secara tidak langsung dapat membantu rakyat terutama golongan berpendapatan rendah,” katanya.

Halimah Jaafar, 82, berkata beliau tiba pada 8 pagi selepas mengetahui mengenai program tersebut daripada rakan-rakannya.

“Rasa bersyukur selain berterima kasih kepada kerajaan yang prihatin dan saya berharap kalau boleh program seumpama ini diperbanyakkan lagi pada masa akan datang,” katanya.- BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.