Zambry Rakam Penghargaan Kepada Duta Turkiye Bantu Selaras Bantuan Kemanusiaan

KUALA LUMPUR, 10 Feb – Menteri Luar Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir merakamkan penghargaan kepada Duta Turkiye ke Malaysia Emir Salim Yuksel atas bantuan yang diberikan bagi menyelaraskan penempatan pasukan ketiga bantuan kemanusiaan Malaysia ke wilayah Adyaman.

Zambry pada hari ini menerusi akaun Twitternya mengesahkan pasukan itu yang terdiri daripada 38 anggota Angkatan Tentera Malaysia (MAF) telah berlepas pada Jumaat menggunakan pesawat A400 untuk memberikan bantuan kemanusiaan kepada mangsa gempa bumi.

“Pasukan itu dijangka mewujudkan dan mengendalikan hospital medan Tahap Tiga…Pesawat itu juga membawa 44 tan peralatan & bekalan perubatan.

“Doa dan ingatan kami bersama mangsa gempa bumi, ahli keluarga dan penyelamat dalam mengharungi detik sukar ini.

“Kedutaan kami di Ankara @MYEmbAnkara dan Konsulat Jeneral di Istanbul @MWIstanbul terus memantau dan mendapatkan maklumat terkini daripada pihak berkuasa Turkiye,” katanya.

Sementara itu, ibu pejabat ATM dalam kenyataan hari ini memaklumkan tujuan utama pengoperasian Hospital Medan Malaysia (HMM) di Turkiye ini adalah bagi menzahirkan hasrat murni kerajaan Malaysia dalam memberikan bantuan kemanusiaan kepada mangsa yang terjejas akibat bencana alam berkenaan.

Operasi itu secara keseluruhannya melibatkan 106 pegawai dan anggota ATM diketuai oleh Brig Jen Datuk Dr Amran Amir Hamzah sebagai Pemerintah Operasi diterbangkan ke Turkiye dalam tiga fasa penghantaran mulai hari ini menggunakan pesawat A400 dan pesawat komersial.

Menurut angka rasmi terkini, lebih 16,540 orang terbunuh manakala 66,130 yang lain cedera di 10 wilayah Turkiye setakat ini, berikutan dua gempa bumi kuat, masing-masing bermagnitud 7.7 dan 7.6 yang menggegarkan wilayah selatan negara itu pada Isnin.

Gempa bumi kuat itu turut menjejaskan negara jiran Syria dengan hampir 1,347 orang dilaporkan terkorban dan lebih 2,295 yang lain cedera. Kesan gempa bumi juga dilaporkan dirasai di Cyprus dan Lubnan.

Pada Selasa, Turkiye mengisytiharkan darurat selama tiga bulan di 10 wilayah iaitu Adana, Adıyaman, Diyarbakir, Gaziantep, Hatay, Kahramanmaras, Kilis, Malatya, Osmaniye dan Sanliurfa, bagi memastikan misi mencari dan menyelamat (SAR) berjalan lancar. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.