Belanjawan 2023: Penyelengaraan Jalan Persekutuan Perlu Diberi Tumpuan

IPOH, 9 Feb – Masalah penyelenggaraan jalan Persekutuan perlu diberi tumpuan dalam Belanjawan 2023 yang akan dibentangkan 24 Feb ini, kata Timbalan Menteri Kewangan Datuk Seri Ahmad Maslan.

Beliau berkata ini kerana perkara berkenaan sering menjadi isu utama dibangkitkan ketika sesi jelajah Majlis Dialog Belanjawan 2023 di kebanyakan negeri.

Katanya bagi jalan negeri dan jalan kampung peruntukan agak mencukupi, misalnya daripada Sistem Maklumat Rekod Jalanraya Malaysia (MARRIS) untuk penyelenggaraan jalan negeri dan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah untuk jalan kampung.

“Masalahnya, bagaimana pula jalan Persekutuan yang kurang diselenggara dan ini antara perkara utama ditimbulkan pihak yang bertanya termasuk exco kerajaan negeri.

“Kita harap Kementerian Kerja Raya memberi tumpuan terhadap perkara ini, ada masa lagi untuk beri peruntukan yang dimohon, contohnya bagi Lebuhraya Timur Barat Gerik-Jeli, Jalan Simpang Pulai-Blue Valley dan Jalan Tapah-Ringlet dengan jalan Persekutuan itu kurang diberi tumpuan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Dialog Belanjawan 2023 yang terakhir di Bangunan Perak Darul Ridzuan, di sini hari ini yang turut dihadiri Menteri Besar Datuk Seri Saarani Mohamad.

Selain itu, Ahmad berkata manfaat kepada masyarakat Orang Asli juga antara perkara yang dibangkitkan semasa sesi dialog itu meliputi kaedah meningkatkan bantuan perumahan kepada golongan tersebut.

Semalam, Saarani dilaporkan berkata kerajaan Perak telah mengemukakan senarai permohonan projek pembangunan bernilai RM3 bilion untuk dimasukkan dalam bajet Persekutuan termasuk melibatkan pembinaan semula Jalan Raya Timur Barat dan tambahan katil di Hospital Raja Permaisuri Bainun.- BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.