Kerja Selenggara Eskalator, Lif CIQ BSI Hampir Selesai

JOHOR BAHRU, 31 Jan – Sebanyak 1,100 arahan kerja bagi menyelenggara eskalator dan lif rosak di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Bangunan Sultan Iskandar (BSI), yang tertangguh semasa pandemik COVID-19, telah berjaya diselesaikan.

Menteri Besar Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata arahan kerja itu dapat diselesaikan setelah kuasa diberikan kepada Jabatan Kerja Raya (JKR) Negeri Johor.

Beliau berkata pemantauan arahan kerja sebelum ini adalah di bawah JKR di Putrajaya, sekali gus menyukarkan kerja-kerja penyelenggaraan dilakukan segera.

“Semasa pandemik COVID-19, sebanyak 1,200 arahan kerja tertangguh di CIQ BSI dan kebanyakan adalah eskalator dan lif yang rosak.

“Alhamdulillah, atas berkat kerjasama semua, saya sukacita memaklumkan kepada semua, arahan kerja yang sebanyak 1,200 dah turun jadi 100 (yang belum selesai),” katanya ketika berucap dalam Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman antara pihak berkuasa tempatan ‘The Greater Johor Bahru’ dan Persatuan Profesional Johor, di sini, hari ini.

Sementara itu, Onn Hafiz berkata beliau juga telah meminta Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk berbuat sesuatu bagi membantu melancarkan lagi lalu lintas di antara Johor Bahru dan Singapura.

Beliau berkata perkara itu disampaikan semasa mengiringi Anwar dalam lawatan rasmi ke Singapura semalam.

“Sekarang dan sebelum pandemik, hampir 150,000 orang menyeberangi tambak setiap hari, majoriti bangun pukul 4 pagi, supaya dapat beratur dekat CIQ BSI pada pukul 5 pagi.

“Bayangkan apa yang mereka perlu harungi. Sebab itu semalam bila saya berjumpa dengan Perdana Menteri (Anwar), saya merayu kepada beliau supaya kita dapat lakukan sesuatu agar aliran trafik Johor Bahru-Singapura dapat dilancarkan lagi,” katanya. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.