Tambah Nilai Produk Pelancongan Di Merlimau Persediaan Tahun Melawat Melaka 2024- Dr Akmal

JASIN, 29 Jan – Kemudahan dan infrastruktur di kawasan Merlimau akan diperindah dan dinaik taraf dalam usaha menambah nilai produk pelancongan di negeri ini sebagai persediaan menjadi antara destinasi utama pelancongan sempena Tahun Melawat Melaka 2024.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau Dr Muhamad Akmal Saleh berkata usaha yang dilakukan itu secara tidak langsung dapat mempopularkan Merlimau sebagai pekan kecil di daerah Jasin yang menjadi laluan pintu masuk ke Melaka dari arah selatan.

“Antaranya projek Merlimau Bercahaya di Dataran Orang Kampung yang dinaik taraf dengan pemasangan lampu hiasan berwarna-warni dan keunikannya dilihat mampu menjadikannya tarikan baharu pelancong di kawasan gerbang selatan.

“Projek ini telah diusahakan menerusi pihak berkuasa tempatan dengan melibatkan tiga komponen pencahayaan di Dataran Orang Kampung, jalan masuk Merlimau dan bangunan lama bandar Merlimau,” katanya kepada pemberita di sini malam tadi.

Terdahulu, beliau mengiringi Ketua Menteri Datuk Seri Sulaiman Md Ali menyempurnakan perasmian Merlimau Bercahaya dan Merlimau Berpeluh 5.0.

Mengulas lanjut, Muhamad Akmal yang juga Exco Kesihatan dan Anti Dadah negeri berkata satu gelanggang sukan melungsur papan selaju atau ‘skateboard’ yang pertama di negeri ini juga sedang dalam pembinaan.

Katanya, projek berhampiran Dataran Orang Kampung melibatkan peruntukan RM315,000 daripada kerajaan Persekutuan itu dijangka siap akhir bulan depan dan akan menjadikan kawasan berkenaan sebagai tempat riadah utama.

“Selain itu, kita juga sedang membangunkan aplikasi MyMerlimau bagi memudahkan pengunjung melihat dan memilih tempat pelancongan serta tempat makan menarik yang terdapat di situ.

“Dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Merlimau ini banyak tempat bersejarah dan menarik seperti Rumah Penghulu Natar, Makam Tun Teja, Perigi Portugis, kawasan pantai dan sebagainya selain kedai-kedai asam pedas Melaka yang boleh diketengahkan,” katanya.

Muhamad Akmal berkata aktiviti pelancongan yang rancak di Merlimau itu dilihat dapat memberi limpahan rezeki kepada para peniaga sekali gus meningkatkan taraf ekonomi penduduk.- BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.