Pembayaran One-Off Bantu Ringankan Beban – Jalaluddin Alias

KUALA LUMPUR, 28 Jan – Ahli Parlimen Jelebu, Datuk Seri Jalaluddin Alias hari ini menyempurnakan pemberian Bantuan Awal Persekolahan (BAP) bagi sesi 2023/2024 yang diumumkan oleh Kerajaan Perpaduan baru-baru ini.

Katanya, BAP ini bertujuan untuk meringankan beban perbelanjaan persekolahan anak-anak yang ditanggung oleh ibu bapa dan penjaga terutama pada awal sesi persekolahan.

“Pembayaran one-off ini adalah untuk semua murid yang memasuki Tahun 1 hingga Tingkatan 5 bagi sesi persekolahan 2023/2024 tanpa ambil kira had pendapatan ibu bapa.

“Seramai 165 murid dari Sekolah Kebangsaan Datuk Undang Abdullah di Kampung Chennah dan 439 murid dari Sekolah Menengah Kebangsaan Undang Jelebu di Kuala Klawang menerima BAP dari Jalaluddin pada hari ini,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.

Katanya lagi semasa ucapannya, Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO itu menegaskan bahawa sektor pendidikan dan kebajikan anak-anak di bangku sekolah harus menjadi keutamaan setiap kerajaan yang memerintah.

“Mana-mana parti yang menjadi kerajaan harus meletakkan pendidikan sebagai prioriti dan tidak boleh berkompromi sama sekali,” jelas beliau.

Beliau mengambil contoh tindakan Kerajaan Perpaduan sekarang yang menyediakan BAP kepada semua murid tanpa mengira status pendapatan ibu bapa penjaga.

Selaku wakil rakyat di Jelebu, Jalaluddin menzahirkan rasa terima kasih kepada kepimpinan Perdana Menteri yang terus prihatin dan tidak memandang sepi terhadap pendidikan anak-anak pertiwi.

Jalaluddin turut mengharapkan BAP ini dapat memberi sedikit keringanan beban kepada ibu bapa, terutama ketika awal sesi persekolahan.- UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.