Mahkamah Luxembourg Benar Permohonan Malaysia Ketepi Perintah Penahanan ‘Waris’ Kumpulan Sulu

KUALA LUMPUR, 26 Jan – Mahkamah di Luxembourg telah mengetepikan perintah penahanan yang dimohon oleh individu yang mendakwa sebagai ‘waris’ kumpulan Sulu pada Selasa lepas (24 Jan), kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said.

Katanya, perintah penahanan pada 11 Julai 2022 yang diketepikan itu dimohon berasaskan dua award timbang tara dikatakan dikeluarkan oleh penimbang tara yang dilantik secara tidak sah, Dr Gondoza Stampa yang dikatakan telah memberikan award kepada penuntut sebanyak USD14.92 bilion (RM63.34 bilion).

“Malaysia telah membantah secara konsisten prosiding timbang tara yang dikatakan itu yang telah dirancang oleh penuntut.

“Malaysia telah mengambil segala tindakan perundangan yang ada untuk membatalkan pelantikan Dr Stampa dan award yang dikatakan tersebut,” katanya dalam kenyataan.

Azalina berkata hasil tindakan Malaysia, Mahkamah Sepanyol yang melantik Dr Stampa telah membatalkan pelantikannya secara retrospektif dan ‘preliminary award’ yang dikeluarkan beliau di Madrid.

Mahkamah Perancis juga telah menggantung penguatkuasaan ‘final award’ yang dikatakan dikeluarkan oleh Dr Stampa di Perancis sementara menunggu keputusan Mahkamah bagi permohonan Malaysia untuk mengetepikan ‘final award’ tersebut.

“Malaysia kemudian dengan serta-merta membuat permohonan kepada Mahkamah Luxembourg untuk mendapatkan relif interim supaya perintah penahanan tersebut diketepikan.

“Pendengaran bagi permohonan tersebut telah berlangsung pada 5 Dis 2022 di hadapan hakim Mahkamah Luxembourg yang kemudiannya telah mengetepikan perintah penahanan tersebut,” katanya.

Azalina berkata keputusan Mahkamah Luxembourg tersebut menjustifikasikan prinsip kerajaan untuk mempertahankan Malaysia di mana-mana forum bagi memastikan kepentingan, kekebalan kedaulatan dan kedaulatan negara sentiasa dilindungi dan terpelihara.

Beliau berkata dalam hal ini, kerajaan akan terus berusaha untuk menamatkan segala tuntutan terhadap Malaysia. -BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.