Projek SASaR Sateria Residensi Dijangka Siap Tahun Depan – Mohamad

KUALA LUMPUR, 25 Jan – Projek pembinaan perumahan bagi program Satu Anggota Satu Rumah (SASaR) di Sateria Residensi Platinum South Valley, Bandar Tasik Selatan, Sungai Besi di sini, yang bermula pada 2022 dijangka siap sepenuhnya hujung tahun depan, kata Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamad Hasan.

Beliau berkata Kementerian Pertahanan (MINDEF) yakin bahawa projek yang telah mencapai kemajuan 21.69 peratus itu akan dapat dilaksanakan mengikut tempoh masa yang ditetapkan bagi memastikan kebajikan warga kerja MINDEF dan Veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) terpelihara.

“Projek berkenaan melibatkan pembinaan lima blok kediaman meliputi 3,500 unit kediaman bagi tiga kategori berbeza mengikut saiz kediaman,” katanya dalam sidang media selepas meninjau tapak pembinaan perumahan SASaR, di sini hari ini.

Menurutnya, projek berkenaan ialah satu daripada agenda teras MINDEF bagi menjaga kebajikan dan kualiti hidup warga kerja pertahanan yang merangkumi anggota tentera, warga awam MINDEF dan veteran ATM.

“Agenda yang digerakkan menerusi Blueprint Perumahan 3.0 ini merupakan garapan yang mendukung secara langsung Pelan Strategik MINDEF 2021-2025 di bawah Teras 3 iaitu Pelestarian Kesejahteraan Warga dan Veteran ATM,” katanya.

Mohamad berkata inti pati agenda itu melengkapi secara holistik kepada strategi yang digariskan dalam Kertas Putih Pertahanan terutamanya menyentuh mengenai ‘Warga Pertahanan’, yang menterjemahkan penghargaan terhadap profesionalisme dan pengalaman serta mengiktiraf kompleksiti tugas anggota ATM.

“Alhamdulillah, saya melihat status kemajuan pembangunan SASaR amat baik walaupun sebelum ini pembinaannya tergendala akibat wabak COVID-19 dan kini ia disambung semula,” katanya.

Turut hadir, Ketua Setiausaha MINDEF Datuk Seri Muez Abd Aziz, Panglima ATM Jen Tan Sri Affendi Buang dan Panglima Tentera Udara Jen Tan Sri Mohd Asghar Khan Goriman Khan. – BERNAMA