Permintaan REHDA Johor Naikkan Harga Rumah RMMJ Hingga 100 Peratus Tidak Diterima

KULAI, 20 Jan – Permintaan Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (REHDA) Johor untuk menaikkan harga Rumah Mampu Milik Johor (RMMJ) hingga 100 peratus, tidak diterima kerajaan negeri.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri Datuk Mohd Jafni Md Shukor berkata desakan itu yang diterima sejak tahun lepas ditolak kerana ia akan membebankan bakal pembeli rumah yang berpendapatan rendah khususnya golongan B40.

Bagaimanapun Mohd Jafni berkata mengambil kira faktor kos harga barang yang naik 30 hingga 40 peratus, kerajaan negeri menerusi Perbadanan Kemajuan Perumahan Johor (PKPJ) mencapai kesepakatan menaikkan harga RMMJ bagi kategori A dan B, manakala kategori C dikekalkan pada harga sedia ada.

Katanya PKPJ bersetuju menaikkan harga RMMJ kategori A daripada RM42,000 kepada RM50,000 dan kategori B daripada RM80,000 kepada RM100,000.

“Rumah kategori C pula dikekalkan kepada RM150,000. Ini adalah langkah yang terbaik untuk memberi situasi menang-menang kepada pemaju dalam masa sama tidak membebankan pembeli,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis Program J-Home One Stop Centre Rumah Mampu Milik Jenis C Taman Bandar Putra di Dewan Bandar Putra di sini hari ini.

Dalam perkembangan lain, Mohd Jafni berkata bakal pembeli dan pembeli sedia ada RMMJ, dapat melihat progres perumahan yang sedang dibina dan baharu tanpa perlu ke tapak pembinaan menerusi Johor Real Estate Information Centre (JREIC) yang akan dilancarkan Mac depan.

“Kita mewajibkan semua pemaju untuk memasukkan progres pembinaan rumah ke dalam dashboard JREIC ini,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata kerajaan negeri juga sedang merancang menyelesaikan masalah 8,970 penduduk setinggan yang masih menduduki penempatan haram di negeri itu.

Menurutnya, proses itu melibatkan pelbagai peringkat dan mengambil masa kerana tapak tanah yang diduduki mereka dimiliki pelbagai pihak termasuk kerajaan negeri, kerajaan Persekutuan, swasta dan syarikat berkaitan kerajaan.

“Bagi orang tempatan yang menduduki kawasan setinggan, biasanya kami bincang tawar rumah lain contohnya PPR (Program Perumahan Rakyat). Proses ini sedang berjalan dan tertumpu di kawasan tepi sungai khasnya di Skudai dan Tebrau,” katanya. – BERNAMA