Melaka Wujudkan Semula MKJR Bantu Tingkat Kempen Keselamatan Jalan Raya

MELAKA, 19 Jan – Kerajaan Melaka mewujudkan semula Majlis Keselamatan Jalan Raya (MKJR) baru-baru ini, setelah dimansuhkan pada 2018 sebagai peneraju dalam melaksanakan pelbagai program dan kempen keselamatan jalan raya, kata Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Sulaiman Md Ali.

Beliau berkata MKJR yang diletakkan di bawah Jabatan Ketua Menteri dan dipengerusikan Exco Kerja Raya, Pengangkutan, Kemudahan Awam, Infrastruktur dan Pengurusan Banjir negeri Datuk Rahmad Mariman itu juga bertujuan memastikan kadar kemalangan dan kematian jalan raya di negeri ini dapat dikurangkan.

“Sebelum ini, saya melihat berlaku peningkatan kadar kemalangan jalan raya di Melaka dan dimaklumkan tentang kepentingan peranan atau fungsi MKJR yang telah dimansuhkan.

“Perjawatan bagi mengisi kakitangan MKJR akan dilakukan dalam masa terdekat dan hari ini kita melancarkannya secara rasmi,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan MKJR Melaka, Kempen Keselamatan Jalan Raya dan Op Tahun Baru Cina 2023 Peringkat Negeri Melaka di sini hari ini.

Turut hadir Timbalan Ketua Pengarah (Perancangan dan Operasi) Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Aedy Fadly Ramli dan Pengarah JPJ Melaka Muhammad Firdaus Shariff.

Mengulas lanjut, Sulaiman berkata MKJR juga diharap mampu menjadi platform utama kerajaan negeri untuk mengurangkan isu trafik seperti struktur jalan raya yang tidak selamat, kajian keselamatan jalan raya ke atas jalan negeri, jalan Persekutuan dan jalan pihak berkuasa tempatan.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata sebanyak 14,381 kemalangan jalan raya dengan 155 kematian direkodkan di Melaka dalam tempoh Januari hingga September tahun lepas, sekali gus menunjukkan bahawa kadar kemalangan jalan raya di negeri itu masih di tahap yang membimbangkan.

“Justeru penglibatan agensi kerajaan negeri, syarikat swasta serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) seperti MKJR amat diperlukan dalam membantu mengurangkan kemalangan, sekali gus memberi kesedaran kepada orang ramai.

“Pengguna jalan raya yang masuk ke Melaka khususnya diminta mematuhi peraturan jalan raya dan papan tanda arah bagi memastikan kelancaran trafik sepanjang musim perayaan kali ini,” katanya.

Orang ramai juga boleh melaporkan sebarang kesalahan lalu lintas sepanjang Op Tahun Baharu Cina kali ini dengan menyalurkan aduan kepada JPJ menerusi emel ([email protected]).- BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.