Mahkamah Persekutuan Mula Dengar Permohonan Semakan Najib Batal Sabitan Kes SRC

PUTRAJAYA, 19 Jan – Mahkamah Persekutuan hari ini mula mendengar permohonan Datuk Seri Najib Tun Razak untuk menyemak semula keputusan terdahulu tertuduh yang mengekalkan sabitan dan hukuman penjara 12 tahun serta denda kerana penyelewengan RM42 juta dana SRC International Sdn Bhd.

Bekas perdana menteri itu memohon untuk membatalkan keputusan yang dibuat oleh panel lima hakim Mahkamah Persekutuan yang diketuai Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat pada 23 Ogos tahun lepas atau agar rayuannya didengar semula.

Ketua Hakim Sabah dan Sarawak Datuk Abdul Rahman Sebli mempengerusikan panel lima hakim terdiri daripada Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Vernon Ong Lam Kiat, Datuk Rhodzariah Bujang dan Datuk Nordin Hassan.

Sementara itu, Hakim Mahkamah Rayuan Datuk Abu Bakar Jais telah dipilih untuk berada di bangku simpanan berdasarkan Perkara 122 (2) Perlembagaan Persekutuan, demi kepentingan keadilan.

Najib, 69, diwakili peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah manakala Timbalan Pendakwa Raya ad hoc Datuk V.Sithambaram bertindak sebagai pihak pendakwaan.

Ini adalah percubaan terakhir Najib melalui prosiding mahkamah untuk mengetepikan keputusan itu.

Bekas Ahli Parlimen Pekan itu juga telah memfailkan petisyen memohon pengampunan diraja atas sabitan beliau dalam kes SRC International.

Selain itu, Najib melalui Tetuan Shafee & Co pada 5 Jan memfailkan petisyen di kepada Kumpulan Kerja Majlis Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Mengenai Penahanan Arbitrari (UNWGAD).

Petisyen itu difailkan di pejabat Suruhanjaya Tinggi Geneva melalui penghujahan digital dan beliau memohon pembebasan atau perbicaraan semula berikutan pendengaran rayuan Mahkamah Persekutuan yang didakwanya mempunyai kecacatan serius dan bertentangan dengan peraturan keadilan antarabangsa. – BERNAMA