Tiga Fokus Utama Jaga Kebajikan Masyarakat India – TPM

PETALING JAYA, 17 Jan – Kebajikan masyarakat India di negara ini akan terus diperjuang terutama berkaitan isu kemiskinan bandar, kemudahan infrastruktur dan utiliti di kawasan perladangan serta aspek pendidikan.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata tiga perkara itu merupakan tumpuan utama beliau dalam membantu masyarakat India sejak dahulu lagi.

Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah itu berkata perkara tersebut juga telah dibincang dan dirancang bersama mendiang Datuk Seri Ramesh Rao yang dilantik sebagai Pegawai Khas Hal Ehwal Kaum India di pejabat Timbalan Perdana Menteri.

“Saya sedang meneliti apa yang beliau rancangkan (untuk masyarakat India) walaupun telah berbincang dengan saya beberapa kali dan saya telah memberikan persetujuan pada dasarnya.

“Tentunya saya akan laksanakan perkara yang telah beliau komited untuk laksanakan…,” katanya kepada pemberita selepas memberi penghormatan terakhir kepada Ramesh Rao di kediaman keluarga mendiang di sini hari ini.

Ramesh Rao, 52, meninggal dunia di kediamannya di Petaling Jaya pada Sabtu, difahamkan akibat serangan jantung.

Pada 24 Dis lepas, mendiang yang juga Presiden Pertubuhan Minda dan Sosial Prihatin dilantik sebagai Pegawai Khas kepada Timbalan Perdana Menteri yang menjaga kepentingan serta permasalahan masyarakat India.

Ahmad Zahid juga berkata beliau mewujudkan jawatan itu selepas melihat terdapat keperluan untuk membantu individu, badan bukan kerajaan dan masyarakat India secara keseluruhannya.

“Selama hampir lima tahun mereka (masyarakat India) tiada tempat atau pegawai khas di mana-mana (pejabat) Perdana Menteri atau Timbalan Perdana Menteri ketika itu.

“Saya mengambil inisiatif itu bukan kerana 25 peratus pengundi saya di Parlimen Bagan Datuk terdiri daripada pengundi India tetapi kerana hubungan saya dengan pemimpin-pemimpin politik yang berasaskan kepada parti orang India termasuk dalam pembangkang juga,” katanya.- BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.