Lantikan Ahli Majlis PBT, Ketua Kampung Akan Diselesaikan Segera – Saarani

IPOH, 17 Jan – Kerajaan negeri Perak kini dalam fasa akhir untuk melengkapkan proses pelantikan ahli majlis pihak berkuasa tempatan (PBT) dan ketua-ketua kampung baharu yang akan diselesaikan dalam masa terdekat.

Menteri Besar Datuk Seri Saarani Mohamad berkata semua pemegang jawatan ahli majlis PBT dan ketua kampung sebelum ini telah ditamatkan perkhidmatan pada 31 Disember 2022.

“Kita telah keluarkan pekeliling sebelum ini dan proses untuk mengisi lantikan baharu yang akan diluluskan oleh Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Perak Sandrea Ng Shy Ching akan diumumkan kelak, kita mahu selesaikan segera.

“Lantikan ini merupakan jawatan daripada parti yang memerintah jadi sudah semestinya memerlukan perbincangan bersama untuk isi kekosongan, begitu juga lantikan ketua kampung yang masih menunggu format baharu yang akan dikeluarkan oleh Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW), ” katanya dalam sidang media selepas Majlis Pecah Tanah Projek Perumahan Lahat Eco-City dekat sini hari ini.

Majlis itu disempurnakan Raja DiHilir Perak Raja Iskandar Dzulkarnain Sultan Idris Shah dan turut dihadiri Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim, Datuk Bandar Ipoh Datuk Rumaizi Baharin dan Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Perumahan dan Hartanah Perak (LPHP) Mohamed Akmal Dahalan.

Sebelum ini Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dilaporkan berkata KKDW akan membentangkan cadangan penubuhan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) serta Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JPKKP) pada Jemaah Menteri dalam masa terdekat.

Katanya keanggotaan ahli JPKK dan JPKKP yang dibentuk perlu mengambil kira komposisi parti komponen Kerajaan Perpaduan sebagai menyokong prinsip sealiran dalam kerajaan kini.

Terdahulu Saarani dalam ucapannya berkata projek pembangunan perumahan meliputi tanah seluas 82.53 ekar itu diilhamkan dengan matlamat membantu golongan berpendapatan rendah memiliki rumah sendiri.

Beliau berkata projek itu melibatkan 392 unit rumah pangsa kos rendah, 404 unit rumah pangsa kos sederhana dan 669 unit rumah teres setingkat kos sederhana.

Katanya fasa pertama membabitkan rumah teres kos sederhana dijangka siap pada suku keempat 2024 manakala fasa kedua bagi rumah pangsa kos rendah pula dijadualkan siap pada suku keempat 2026. – BERNAMA