Jabatan, Agensi Kerajaan Melaka Perlu Selesai Aduan Berulang Dalam Masa Seminggu – KM Melaka

MELAKA, 16 Jan – Ketua Menteri Datuk Seri Sulaiman Md Ali mengarahkan agar semua jabatan dan agensi di negeri berkenaan menyelesaikan setiap aduan berulang dan tertunggak dalam tempoh seminggu.

Beliau berkata ia berikutan pelbagai aduan rakyat didapati lewat diambil tindakan malah ada yang masih berlarutan dan tiada penyelesaian dilakukan sehingga kini.

“Bagi 2023, fokus kerajaan negeri adalah penyelesaian isu dan masalah rakyat serta pencapaian memberangsangkan, seharusnya semua jabatan perlu mengambil tindakan segera bagi menyelesaikan apa jua masalah dihadapi dan sekiranya ada kekangan mereka perlu memberi maklum balas kepada pengadu.

“Cara kerja penjawat awam juga perlu berubah mengikut peredaran masa dan penyelesaian kepada isu serta masalah rakyat sewajarnya dilakukan segera kerana perkhidmatan kita bukan lagi berteraskan kepada pelanggan semata-mata iaitu rakyat sebagai pelanggan, sebaliknya harus berorientasikan ‘rakyat sebagai pemegang taruh’,” katanya.

Beliau berketa demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Amanat Kepada Penjawat Awam Negeri Melaka 2023 bertemakan Rekayasa Perkhidmatan Demi Keberhasilan Optima di Seri Negeri, Ayer Keroh di sini.

Mengulas lanjut Sulaiman turut mengingatkan penjawat awam agar menambah baik dan menaik taraf kualiti perkhidmatan sedia ada di samping memanfaatkan teknologi semasa seperti Internet Benda (IoT) ke arah perkhidmatan kerajaan digital.

“Biarpun kerajaan negeri kini menekankan kepada Digitalisasi dan E-Kerajaan, namun ia memerlukan keseimbangan supaya tidak menyusahkan rakyat khasnya golongan warga emas.

“Pada masa kita mahu beralih kepada kaedah pembayaran tanpa tunai misalnya, penjawat awam juga perlu menyesuaikan dengan keadaan terutama kepada pemegang taruh golongan veteran dan warga emas yang masih belum menguasai kaedah pembayaran itu,” katanya.

Beliau turut mengingatkan penjawat awam untuk terus mengamalkan budaya kerja berintegriti dan bebas daripada sebarang salah laku dan salah guna kuasa. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.