Program Berimpak Tinggi TVET Dilaksana Secara Besar-Besaran

KUALA LUMPUR, 14 Jan – Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengarahkan agensi berkaitan untuk melaksanakan program pendidikan serta latihan teknikal dan vokasional (TVET) berimpak tinggi secara besar-besaran.

Presiden UMNO itu, yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, berkata ia bertujuan meningkatkan lagi keberhasilan pendidikan kemahiran sebagai pemacu perubahan untuk melonjakkan modal insan berkemahiran tinggi dalam kalangan pelbagai lapisan masyarakat.

“Sebagai Pengerusi Jawatankuasa Penyelarasan TVET, saya telah mengarahkan agensi berkenaan bagi melaksanakan secara besar-besaran penyelarasan program TVET ini dan memberi tumpuan kepada kumpulan sasaran dari desa.

“Saya minta Ketua Wanita, Pemuda dan Puteri bantu untuk mengenal pasti mereka ini supaya dapat dimasukkan dalam program TVET dan kita telah mempunyai program yang khusus mengikut minat mereka. Saya harap perkara ini dapat dilaksanakan dalam tempoh sebulan dari sekarang,” katanya dalam ucapan penangguhan pada Perhimpunan Agung UMNO 2022 di Pusat Dagangan Dunia di sini hari ini.

Beliau berkata program itu akan dikenali sebagai TVET Komuniti yang melibatkan Program TVET Junior, Program TVET Aras Tinggi, Program Teknousahawan TVET, Program TVET Tahfiz, Program Upskilling (Peningkatan Kemahiran) dan Reskilling (Latihan Semula) TVET serta Program Pendigitalan TVET.

Ahmad Zahid berkata program yang dirancang itu merupakan rangka usaha Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah dalam memartabatkan TVET selain memenuhi permintaan pasaran dan seterusnya menyumbang kepada pembentukan masyarakat berkemahiran, berdaya saing serta berpendapatan tinggi.

“Program TVET Komuniti ini akan melaksanakan program peningkatan kemahiran berbentuk kemasyarakatan serta dibudayakan secara meluas merentas seluruh demografi masyarakat,” katanya. – BERNAMA

 

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.