MITI Akan Lebih Bersasar Tarik Pelaburan Tepat, Bermula Dengan WEF, Davos – Tengku Zafrul

KUALA LUMPUR, 14 Jan – Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) mahu bertindak lebih bersasar dalam menarik dan mengekalkan pelaburan, dan ini akan bermula dengan penyertaan dalam Forum Ekonomi Dunia (WEF) di Davos, Switzerland, kata Menterinya Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.

Beliau berkata sejak pelantikannya sebagai Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, beliau telah mengadakan banyak sesi libat urus dengan dewan-dewan perniagaan dan kumpulan pelabur.

Selain itu, beliau telah mengenal pasti pelbagai isu utama bukan sahaja berhubung usaha menarik malah juga mengekalkan pelaburan yang tepat untuk mewujudkan pekerjaan berkemahiran tinggi bagi rakyat Malaysia, meningkatkan gaji secara umum, dan membina semula kelas pertengahan pascapandemik.

Ini akan memastikan pertumbuhan ekonomi yang lebih mampan untuk negara dalam jangka masa panjang, katanya.

Beliau berkata bagi tujuan itu, MITI dan delegasi Malaysia ada tiga keutamaan semasa WEF yang akan berlangsung pada 16 hingga 20 Jan, 2023 iaitu bertemu dan menerangkan hala tuju kerajaan dengan industri tertentu serta mengeratkan lagi hubungan dengan komuniti pelaburan antarabangsa yang disasarkan.

“Kedua, kita mahu mengetengahkan agenda kerajaan dan ekonomi dalam isu-isu penting ekonomi global terutama dasar-dasar kerajaan Malaysia dalam panel khas forum kali ini.

“Ada sesi tertutup, sesi khas dan kita menggunakan platform tersebut untuk mengetengahkan agenda kerajaan dan saya sendiri telah diundang untuk bercakap dalam beberapa panel tentang Asean, rantaian ekonomi global dan risiko ekonomi global,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Antara sesi berjadual yang akan disertai oleh Tengku Zafrul adalah mengenai kos fragmentasi ekonomi, rantaian bekalan dan pengangkutan serta sesi bertajuk ‘Living with Risk’ dengan beliau akan menjadi antara tiga ahli panel.

Beliau juga akan berada dalam sesi dua panel mengenai ‘Global Trade: Navigating The Post Pandemic Supply Chain Challenge’ bersama-sama dengan Pengerusi Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif DP World yang berpangkalan di Dubai, H.E. Sultan Ahmed Bin Sulayem.

Sesi itu akan menumpukan sama ada kuasa makroekonomi — seperti inflasi, ketegangan geopolitik, lonjakan harga komoditi, gangguan rantaian bekalan dan kekangan kapasiti — akan berterusan sehingga 2023 dan cara untuk syarikat boleh mencipta rantaian bekalan yang lebih berdaya tahan.

Tengku Zafrul berkata keutamaan ketiga delegasi Malaysia adalah menguar-uarkan perkembangan terkini Malaysia dan maklumat mengenai hala tuju dan pemikiran kerajaan berhubung isu-isu kelestarian seperti alam sekitar, sosial dan tadbir urus korporat (ESG) yang semakin penting.

“Kita kena fokus kepada komuniti pelaburan yang menekankan isu ESG ini. Naratif utama yang akan turut dibawa MITI adalah kestabilan politik, pascapilihan raya umum baru-baru ini supaya kita boleh menjana ekonomi yang lebih kondusif dan inklusif untuk membantu menarik pelaburan,” katanya.

Beliau berkata kerajaan juga komited dengan dasar properniagaan.

“Kita terbuka kepada perniagaan, meletakkan Malaysia sebagai negara yang strategik untuk pelaburan kredibiliti dan sebagai pintu masuk ke Asia Tengara,” katanya.

Ketika ditanya mengenai isu hangat yang akan dibincangkan di WEF, beliau berpendapat WEF akan didominasi oleh isu keresahan perniagaan, komuniti perniagaan dan pemimpin kerajaan tentang prospek ekonomi global yang kelihatan suram pada 2023.

“Namun demikian, Malaysia perlu mempamerkan bahawa pertumbuhan ekonomi global pada tahun ini boleh didorong oleh pertumbuhan ekonomi di Asia juga, termasuk di Malaysia,” katanya.

Tengku Zafrul berkata ini terutama dengan pembukaan semula China, ia akan sedikit sebanyak membantu ekonomi di Asia dan Asia Tengara, termasuk Malaysia.- BERNAMA