Kewujudan Suruhanjaya Kanak-Kanak Akan Diteliti – Azalina

KOTA TINGGI, 7 Jan – Kerajaan akan meneliti kewujudan Suruhanjaya Kanak-Kanak sebagai badan bebas dalam membela nasib golongan itu di negara ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said berkata ini penting bagi melihat perkara berhubung kebajikan kanak-kanak seperti keselamatan umum, pendidikan dan kesihatan.

Beliau berkata pada masa ini, Pesuruhjaya Kanak-Kanak merupakan sebahagian daripada Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam).

“Saya akan buat kertas Kabinet untuk memberikan mereka kebebasan supaya berdiri di atas kaki sendiri sebagai satu badan pemerhati sebab isu kanak-kanak bukan sahaja meliputi isu jenayah,” katanya kepada pemberita selepas majlis doa selamat sempena pelancaran Pusat Khidmat Wakil Rakyat dan Klinik Bergerak Parlimen Pengerang di sini hari ini.

Selain itu, Azalina berkata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim telah bersetuju dengan pelantikan Pesuruhjaya Kanak-Kanak yang baharu dan akan dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong untuk perkenan.

Sementara itu, Azalina berkata pihaknya juga akan mengadakan perbincangan dengan Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek dalam masa terdekat supaya diadakan program kefahaman umum mengenai hak kanak-kanak supaya golongan itu tidak menjadi mangsa kes jenayah.

Beliau berkata pihaknya juga sedang melihat kepada penambahan Mahkamah Jenayah Seksual Terhadap Kanak-Kanak bagi mempercepat kes-kes melibatkan golongan berkenaan. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.