Perak Beri Insentif Lebih RM240,000 Kepada Kontinjen Cemerlang Para Sukma 2022

IPOH, 5 Jan – Kerajaan negeri menyampaikan insentif kemenangan berjumlah RM240,500 kepada kontinjen Perak yang telah membawa pulang pingat pada Sukan Para Malaysia (Para Sukma) di Kuala Lumpur pada November lepas.

Menteri Besar Perak Datuk Seri Saarani Mohamad berkata insentif itu diberikan kepada 39 orang atlet yang telah meraih pingat, sebagai tanda penghargaan dan pengiktirafan kepada seluruh kontinjen negeri itu.

“Sepertimana telah dijanjikan, setiap pingat dimenangi akan diberikan insentif berjumlah RM5,000 bagi atlet memenangi pingat emas acara individu; RM3,000 bagi pingat perak dan RM1,000 bagi pingat gangsa dengan insentif ini juga melibatkan lima rekod baharu Para Sukma berjaya dipecahkan daripada sukan olahraga.

“Lebih membanggakan, Anugerah Olahragawati Para Sukma telah berjaya dirangkul oleh atlet memanah para negeri Perak, Nur Jannaton Abdul Jalil. Beliau telah mencipta sejarah beraksi cemerlang dengan memenangi tiga pingat emas di temasya kali ini,” katanya pada sidang media selepas menyampaikan insentif kepada kontinjen Para Sukma di sini hari ini.

Saarani berkata jasa bakti jurulatih dan pengurus pasukan juga tidak dilupakan apabila mereka turut menerima insentif sebanyak RM18,500 atas komitmen dan usaha yang telah disumbangkan.

“Kejayaan ini amat membanggakan kita sebagai rakyat negeri Perak dan sudah pasti akan menjadi aspirasi kepada anak-anak muda.

“Besar harapan saya untuk melihat kejayaan demi kejayaan terus diukir oleh atlet-atlet negeri Perak. Bagi saya tiada yang mustahil untuk dicapai sekiranya kita berusaha dengan gigih dan bersatu padu dalam memberi sokongan kepada atlet bertanding,” katanya. – BERNAMA

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.