Bajet 2023 Ambil Kira Manifesto Semua Parti Dalam Kerajaan Perpaduan – Ahmad

CHUKAI, 29 Dis – Bajet 2023 yang akan dibentangkan pada 24 Feb depan akan mengambil kira manifesto semua parti dalam Kerajaan Perpaduan.

Timbalan Menteri Kewangan I Datuk Seri Ahmad Maslan berkata urus setia khas bajet baharu telah ditubuhkan bagi meneliti dan mengkaji manifesto parti yang positif untuk dimasukkan dalam bajet berkenaan.

Selain itu beliau berkata beberapa penambahbaikan juga akan dipertimbangkan dalam Bajet 2023 itu bagi memastikan ia memenuhi keperluan dan agenda rakyat.

“Ada pelbagai parti dalam Kerajaan Perpaduan yang membentuk dua pertiga majoriti. Setiap parti ada manifesto-manifesto yang baik untuk dilaksanakan.

“Urus setia khas yang meneliti manifesto parti dalam Kerajaan Perpaduan telah ditubuhkan untuk teliti perkara-perkara ini,” katanya pada sidang media sempena lawatan kerja di Pejabat Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Kemaman di sini hari ini.

Selain itu, Ahmad berkata kerajaan juga tiada halangan untuk meneruskan perkara positif yang telah dibentangkan oleh Menteri Kewangan dalam Bajet 2023 sebelum ini.

Beliau berkata sebagai contoh pemberian bantuan persekolahan sebanyak RM150 kepada setiap pelajar tanpa mengira pendapatan keluarga yang akan mula diagihkan pada 12 Jan depan.

“Hal-hal bajet akan dibincangkan pada mesyuarat kementerian (Kementerian Kewangan) pada mesyuarat 3 Jan depan.

“Terpulang kepada Perdana Menteri untuk memutuskan tema bajet dan kandungannya,” katanya.

Sebelum ini Bajet 2023 yang disediakan kerajaan pimpinan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob tidak sempat dibahas dan diluluskan, sebelum terbubarnya Parlimen pada 10 Okt lepas. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.