JKDM Kelantan Catat Kutipan Cukai Lebih RM65.1 Juta Di TBSB

PASIR PUTEH, 28 Dis – Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Kelantan mencatatkan kutipan cukai melebihi RM65.1 juta di Pangkalan Bekalan Tok Bali (TBSB) di sini, setakat 22 Dis lepas.

Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata jumlah itu mewakili peningkatan selama dua tahun berturut-turut iaitu pada 2020 (RM30.9 juta) dan 2021 (RM34.3 juta).

“Peningkatan kutipan cukai ini didorong oleh operasi-operasi yang dilakukan oleh syarikat terkemuka seperti HESS Exploration & Production Malaysia B.V, Hibiscus Oil dan Gas Malaysia Ltd.

“Antara kawasan yang terlibat ialah Kawasan Pembangunan Bersama, Kawasan Pengaturan Komersial dan Lembangan Melayu Utara,” katanya kepada pemberita selepas melawat TBSB, di sini pada Rabu.

Hadir sama ialah Pengarah JKDM Kelantan Wan Jamal Abdul Salam Wan Long dan Pengurus Besar TBSB Nur Hasmin Kamarollzaman.

Ahmad berkata antara kawalan yang dilakukan oleh JKDM di TBSB adalah kemasukan barang-barang tempatan ke TBSB, pergerakan barang-barang dari luar pesisir ke TBSB dan kawalan keluar masuk kapal di TBSB.

“Selain itu, kawalan turut dilakukan ke atas sisa pepejal, cecair dan kimia daripada aktiviti petroleum huluan, kawalan ke atas penggudangan barang-barang petroleum huluan dan pematuhan syarat-syarat pelesen Pangkalan Bekalan,” katanya. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.